
ISKANDAR PUTERI, 11 Mei – Johor Darul Takzim (JDT) memecah rekod jaringan terbanyak Liga Super Malaysia, selepas membaham Kelantan The Real Warriors (TRW), 14-1, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
- Ketua jurulatih Xisco puji semangat juang pemain yang terus berjuang hingga minit akhir.
- Xisco berpuas hati dan anggap ini masa untuk memperbaiki pasukan menjelang perlawanan seterusnya.
- Pasukan bermain penuh 90 minit dengan 100 peratus komitmen; pemain lama kembali ke kesebelasan utama.
- Jurulatih Kelantan, Kamarul Dinis, dakwa masalah dalaman menjejaskan prestasi dan moral pasukan.
Pesta gol itu membuktikan semangat juang tinggi para pemain dalam meneruskan usaha mencari gol, meskipun telah selesa dengan jurang mata besar, menurut Ketua Jurulatih JDT Xisco Munoz.
“Saya gembira melihat kemampuan para pemain yang terus berjuang hingga minit ke-95. Inilah yang kami mahukan dan perkara yang membuatkan saya puas hati kerana ini adalah masa untuk terus memperbaiki pasukan bagi perlawanan seterusnya dan menjadi yang terbaik.
“Saya bangga kerana kami bermain penuh 90 minit dengan memberikan 100 peratus komitmen. Pemain yang sudah lama tidak beraksi dalam kesebelasan utama kini kembali berada dalam skuad utama,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan JDT menentang Kelantan TRW berakhir malam tadi.
Sementara itu, Jurulatih Kelantan TRW, Kamarul Dinis Kamarudin menyifatkan masalah dalaman yang membelenggu pasukannya, memberi kesan kepada prestasi dan moral pemain.
“Pemain-pemain saya, staf dan jurulatih-jurulatih, yang sanggup datang ke sini, walaupun kami dilanda pelbagai masalah dalaman, yang diibaratkan sebagai hilang bapak, jadi maksudnya kami terpaksa bergerak sendiri, dan isu-isu berbangkit menyebabkan kami tidak dapat menumpukan sepenuhnya perhatian kepada latihan,” katanya.