20 PATI Myanmar dicekup di parkir masjid, pemandu lari tinggalkan penumpang

Parkir masjid jadi lokasi serbuan, 20 PATI Myanmar diberkas PGA

RANTAU PANJANG, 10 Mei – Seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan dalam Op Taring Delta yang dijalankan di kawasan parkir Masjid Sultan Ismail Petra, di sini pada pukul 8 pagi semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemandu melarikan diri ketika kenderaan diikuti; penumpang ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka berada dalam dua MPV.
  • Tujuh miliki pasport tanpa cop kemasukan, 13 gagal mengemukakan dokumen; tujuh pasport, 22 telefon dan dua kenderaan dirampas.
  • Kes disiasat bawah Akta Imigresen; suspek masuk dengan bot merentas Sungai Golok, dipercayai guna Pengkalan Haram Yasin; bayaran RM3,000-RM6,000.

Operasi oleh Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Cawangan Risik Batalion 7 PGA itu berjaya menahan kesemua lelaki berkenaan selepas pihak polis mengesan dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan dijalankan.

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, kedua-dua kenderaan tersebut diekori sehingga memasuki kawasan parkir masjid sebelum pemandunya bertindak melarikan diri dan gagal dikesan.

“Hasil pemeriksaan mendapati 11 individu berada dalam sebuah MPV manakala 9 lagi dalam sebuah MPV berasingan.

“Semakan lanjut mendapati hanya tujuh individu memiliki pasport, namun tiada cop kemasukan sah ke Malaysia, manakala 13 lagi gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya kepada RTM.

Tambah beliau, turut dirampas tujuh pasport, 22 unit telefon bimbit serta dua buah kenderaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM88,200.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mengulas lanjut, Ahmad Radzi berkata hasil soal siasat mendapati kesemua suspek memasuki negara ini dengan menaiki bot merentas Sungai Golok melalui laluan haram sekitar kawasan Rantau Panjang.

“Walaupun mereka tidak dapat mengenal pasti lokasi pendaratan sebenar, pihak polis percaya kumpulan ini menggunakan Pengkalan Haram Yasin sebagai laluan masuk,” katanya.

Menurut beliau, suspek turut memaklumkan bayaran antara RM3,000 hingga RM6,000 dikenakan bagi setiap individu bergantung kepada destinasi serta peluang pekerjaan yang ditawarkan.

“Modus operandi itu menunjukkan kewujudan sindiket penyeludupan migran yang masih aktif menggunakan laluan sungai sebagai pintu masuk utama ke negara ini,” katanya.

Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut, manakala rondaan serta pemantauan di kawasan sempadan akan terus dipertingkatkan bagi mengekang kemasukan warga asing tanpa izin.