
KUALA LUMPUR, 10 Mei -Pengumuman peruntukan tambahan RM50 juta untuk Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) disifatkan cukup signifikan dalam memperluas akses pendidikan masyarakat India.
- Mahasiswa menyambut baik pengumuman dan mahu bantuan pendidikan khusus untuk pelajar institusi pengajian tinggi diperluas.
- Penambahan dana membolehkan lebih banyak inisiatif untuk pelajar IPT, membantu majukan pengajian dan mengurangkan beban kewangan.
- Harapan supaya lebih ramai masyarakat India mendapat bantuan, melanjutkan pelajaran dan meningkatkan taraf hidup masa depan.
Mahasiswa yang ditemui menyambut baik pengumuman itu dan berharap inisiatif bantuan pendidikan khususnya buat pelajar institusi pengajian tinggi terus diperluas.
“Sebab semakin lama, semakin ramai generasi akan datang. Jadi apabila jumlah semakin besar, ia dapat membantu lebih ramai generasi muda pada masa hadapan. Apa yang disampaikan tadi sangat bermanfaat kepada seluruh masyarakat India di Malaysia serta menyumbang kepada pembangunan negara,” kata Previn Kanniyappan.
“Pertambahan RM50 juta ini akan membolehkan pelbagai inisiatif ditambah untuk pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT). Hal ini akan membantu generasi pelajar IPT pada masa hadapan dalam memajukan pengajian mereka serta mengurangkan beban yang ditanggung,” Ashigah Shasi Tharan.
“Tambahan peruntukan ini dapat membantu lebih ramai masyarakat India yang sebelum ini tidak menerima bantuan. Dengan penambahan bantuan ini, saya berharap lebih ramai pelajar masyarakat India yang menuntut di universiti awam dan swasta dapat melanjutkan pelajaran serta meningkatkan taraf hidup mereka pada masa hadapan,” G Sahrveen Kummarran.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dana tambahan sebanyak RM 50 juta buat MITRA, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan untuk agensi itu, bernilai RM150 juta bagi tahun ini.