
KUALA LUMPUR, 10 Mei – Lebih 373,000 kes subfertiliti dikendalikan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sejak 1979.
- LPPKN menyediakan perkhidmatan kesuburan komprehensif bersubsidi untuk membantu wanita dan pasangan merealisasikan impian mendapatkan zuriat.
- Program BuAI membiayai rawatan IUI sehingga dua kitaran, dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 47,000 pasangan.
- PSKI mengandungi Pakej Sayang Ibu, Pakej Bonding KASIH Ibu, dan Pakej Minda Tenang bagi sokongan kesihatan, emosi dan mental.
- Anugerah Khas Inspirasi Ibu diperkenalkan untuk menghargai wanita berjuang mendapatkan zuriat; penerima sulung berkongsi kisah harapan dan syukur.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia dalam usaha membantu wanita dan pasangan merealisasikan impian mendapatkan zuriat menerusi perkhidmatan kesuburan yang komprehensif pada harga berpatutan beserta subsidi rawatan.
“Sehingga kini, lebih 373,000 kes subfertiliti telah dikendalikan, dengan 6,513 kehamilan berjaya direalisasikan. Setiap satu daripadanya membawa kisah harapan yang menjadi kenyataan, kisah air mata yang membawa bahagia”, katanya.
Antara inisiatif yang memberi sinar kepada harapan menjadi seorang ibu ialah Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) dengan tagline “Lebih Awal, Lebih Baik”.
Program BuAI ini menyasarkan pasangan yang layak dengan pembiayaan menjalani rawatan IUI sehingga dua kitaran. Seramai 47,000 pasangan dijangka akan mendapat manfaat dari inisiatif ini,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), yang disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
KPWKM turut memperkenalkan Pakej Seteguh KASIH Ibu (PSKI) yang menawarkan sokongan menyeluruh kepada para ibu melalui tiga komponen utama iaitu Pakej Sayang Ibu, Pakej Bonding KASIH Ibu dan Pakej Minda Tenang.
Pakej Sayang Ibu memberi fokus kepada kesihatan wanita termasuk saringan awal kanser reproduktif dan subsidi mamogram; manakala Pakej Bonding KASIH Ibu bertujuan memperkukuh kesejahteraan emosi dan hubungan kekeluargaan.
Pakej Minda Tenang pula menyediakan sokongan kesejahteraan mental dan relaksasi untuk para ibu.
Inisiatif tersebut diperkenal susulan dapatan Tinjauan Pendapat Umum Hari Ibu 2025 yang menunjukkan 65.9 peratus ibu berdepan kekangan masa untuk diri sendiri khususnya dalam aspek rehat dan pemulihan emosi.
Pada majlis sama, kementerian itu turut memperkenalkan Anugerah Khas Inspirasi Ibu bagi menghargai wanita yang berjuang mendapatkan zuriat dan menjadi sumber inspirasi kepada pasangan lain yang sedang menjalani rawatan subfertiliti.
Penerima sulung anugerah itu ialah ASP Nurul Zaanizila Mohd Zain yang berjaya bergelar ibu kepada sepasang kembar menerusi program LPPKN, setelah menanti selama 12 tahun.
“Ini rawatan IVF saya yang kedua. Sebelum ini, saya buat kat tempat lain. yang 1st kat LPPKN dan alhamdulillah, berjaya. Saya pernah buat IUI, saya pernah buat IVF dua kali. Maksudnya tiga kali, lah,” kongsinya kepada media.
Pasangannya, ASP Mohd Azren Isa pula menyifatkan perkhidmatan yang disediakan LPPKN antara yang terbaik.
“Perkhidmatan yang kami terima di LPPKN sangat baik dan berhemah. Sesi konsultasi juga dijalankan secara profesional dengan menjaga sensitiviti isteri saya, di samping menerangkan setiap risiko yang mungkin kami hadapi sepanjang rawatan.
“Mereka tidak memberi jaminan pasti, namun pada masa sama tidak pernah memadamkan harapan kami. Segala risiko dijelaskan dengan penuh tertib dan empati terhadap keadaan keluarga kami”, katanya.