Raja Permaisuri Perak sempurnakan Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2026

Raja Permaisuri Perak berkenan rasmi Sambutan Hari Ibu Kebangsaan 2026/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyempurnakan Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Tema "Seteguh KASIH Ibu" sebagai simbol penghargaan terhadap kasih sayang dan pengorbanan ibu dalam memastikan kesejahteraan masyarakat dan negara.
  • Kerajaan meneruskan sokongan bersepadu melalui Dasar KASIH Keluarga Negara bagi memperkukuh kebajikan wanita dan kesejahteraan institusi keluarga.
  • LPPKN memperkenalkan Anugerah Khas Inspirasi Ibu menghargai wanita berjuang mendapatkan zuriat dan memberi inspirasi kepada pasangan menjalani rawatan subfertiliti.

Sambutan anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu
bertemakan “Seteguh KASIH Ibu”.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sambutan tersebut merupakan manifestasi pengiktirafan tertinggi negara terhadap peranan ibu yang tidak ternilai dalam membentuk masyarakat sejahtera dan berdaya tahan.

“Sambutan Hari Ibu ini merupakan manifestasi kasih sayang, pengiktirafan dan penghargaan tertinggi negara terhadap insan istimewa yang bergelar ibu. Keberangkatan Tuanku sesungguhnya melambangkan keprihatinan tinggi terhadap usaha kerajaan dalam memartabatkan peranan ibu sebagai teras keharmonian institusi keluarga,” katanya.

Datuk Seri Nancy Shukri mempersembahkan ucapan kepada baginda tuanku sempena sambutan berkenaan.

Beliau berkata, ibu merupakan tunjang utama dalam membina generasi berdaya tahan dan berakhlak.

Justeru, tema “Seteguh KASIH Ibu” bukan sekadar tema sambutan, sebaliknya simbol penghargaan terhadap kasih sayang dan pengorbanan ibu yang menjadi nadi kesejahteraan masyarakat dan negara.

“Ibu bukan sekadar pengurus rumah tangga tetapi mereka adalah tunjang utama yang membentuk jiwa dan jati diri anak-anak.

“Selaras dengan Dasar KASIH Keluarga Negara, beliau berkata kerajaan akan terus memperkukuh sokongan terhadap wanita dan keluarga melalui pendekatan menyeluruh, inklusif serta berteraskan kesejahteraan institusi keluarga,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Pada majlis sama, KPWKM menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut memperkenalkan Anugerah Khas Inspirasi Ibu sebagai penghargaan kepada wanita yang berjuang mendapatkan zuriat, selain menjadi sumber inspirasi kepada pasangan lain yang sedang menjalani rawatan subfertiliti.

Turut berangkat dan hadir memeriahkan majlis ialah isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying serta pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan.