
ALOR GAJAH, 10 Mei – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) akan membantu memperluas hebahan berkaitan inisiatif keselamatan penggunaan internet yang melibatkan remaja bawah 16 tahun, dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
- Perbincangan awal telah diadakan bersama MCMC.
- Pelaksanaan inisiatif akan diterajui sepenuhnya oleh MCMC.
- JAPEN akan menyampaikan maklumat dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan remaja pengguna media sosial.
- Pengumuman rasmi dijangka dibuat oleh Kementerian Komunikasi; inisiatif sebahagian usaha berterusan kerajaan bagi keselamatan internet remaja.
Ketua Pengarah JAPEN, Julina Johan berkata, perbincangan awal bersama MCMC telah diadakan dan pelaksanaan inisiatif berkenaan akan diterajui sepenuhnya oleh suruhanjaya itu.
Menurut beliau, peranan JAPEN adalah untuk menyampaikan maklumat serta meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya melibatkan pengguna media sosial dalam kalangan remaja.
“Pelaksanaan ini akan diterajui oleh MCMC, manakala JAPEN akan membantu dari segi hebahan maklumat kepada masyarakat. Input utama akan datang daripada pihak MCMC dan pengumuman rasmi dijangka dibuat oleh Kementerian Komunikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Skillbox@Kelab Malaysiaku 2026 di Kem Permata Resort, di sini.
Tambahnya, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi memastikan penggunaan internet yang lebih selamat, khususnya dalam kalangan generasi muda.