
KUALA LUMPUR, 10 Mei – Musyawarah Nasional (MN) akan didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan bukan sebagai platform mana-mana parti politik atau individu tertentu.
- MN mesti kekal inklusif, bebas dan menjadi wadah penyatuan pemikiran Melayu-Islam.
- Sekretariat tetap diwujudkan untuk memantau pelaksanaan resolusi bersama kementerian dan agensi kerajaan.
- Fokus kepada lima teras: agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.
- Perkukuh ekonomi Melayu-Bumiputera melalui pemilikan, kemahiran, akses modal dan penguasaan sektor masa depan; agensi perlu disatukan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu penting bagi memastikan gerakan berkenaan kekal inklusif, bebas dan menjadi wadah penyatuan pemikiran Melayu-Islam di negara ini.
“Sekretariat tetap MN hendaklah segera mengambil tindakan untuk mendaftarkannya sebagai sebuah NGO di bawah RoS. Jangan ditubuhkan sebagai sebuah gabungan parti politik,” katanya ketika ucapan penggulungan MN bertemakan “Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya” di ibu negara.
Tegasnya lagi, setiap resolusi yang dibangkitkan tidak akan dibiarkan sekadar dokumen, sebaliknya akan dipantau dan dilaksanakan melalui penglibatan kementerian serta agensi kerajaan berkaitan.
Beliau berkata, satu sekretariat tetap akan diwujudkan bagi memantau pelaksanaan cadangan, melibatkan lima teras utama iaitu agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.
Dalam masa sama, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menekankan keperluan memperkukuh ekonomi Melayu dan bumiputera secara lebih strategik, bukan sekadar bergantung kepada bantuan semata-mata.
“Strategi sebenar ialah pemilikan, kemahiran, pekerjaan bergaji tinggi, akses modal, akses pasaran dan penguasaan sektor masa depan. Oleh sebab itu, agenda ekonomi bumiputera mesti digerakkan dengan lebih berani.
MARA, TERAJU, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) mesti diberi mandat lebih jelas sebagai enjin pembangunan bumiputera. Organisasi ini mesti disatukan, jangan berlawan bersaing sesama sendiri agar lebih ramai jaguh bumiputera dalam sektor strategik dilahirkan,” ujar beliau lagi.
Beliau menambah, MN dijangka menjadi wadah berterusan bagi membincangkan hala tuju masyarakat Melayu-Islam secara lebih tersusun dan menyeluruh.