
KUALA LUMPUR, 10 Mei – Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menyemak semula pemberian subsidi minyak yang turut dinikmati golongan kaya.
- Majlis Tindakan Ekonomi Negara meneliti cadangan itu sejak hampir sebulan lalu.
- Kerajaan sedang memperhalusi mekanisme supaya tidak membebankan golongan pertengahan atasan dan agar pelaksanaan mudah serta berkesan.
- Belum diputuskan sama ada penyasaran melibatkan kumpulan T20 atau T15.
- Datuk Seri Anwar mengulas selepas Majlis Ramah Mesra di Universiti Malaya dan menjawab gesaan Pemuda UMNO supaya golongan kaya dikecualikan subsidi RON95.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan berhubung perkara itu telah diteliti di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sejak hampir sebulan lalu.
Menurut beliau, kerajaan kini sedang memperhalusi mekanisme pelaksanaan terbaik supaya tidak membebankan golongan pertengahan atasan selain memastikan pelaksanaannya lebih mudah dan berkesan.
“Cadangan itu telah diteliti oleh MTEN. Memang cadangan itu telah dikaji sejak sebulan lalu.
“Namun, kita belum memutuskan sama ada melibatkan kumpulan T20 atau T15 supaya tidak membebankan golongan pertengahan atasan dan mudah untuk dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Mahasiswa India di Universiti Malaya, di sini.
Datuk Seri Anwar mengulas gesaan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh agar kerajaan mengecualikan golongan kaya daripada menikmati subsidi petrol RON95.