‘Memang sangat membantu’ – Peniaga hargai insiatif kerajaan turunkan sewa premis

Peniaga, Hasnah Hasan, Nazim Hashim dan Norzelina Abdul Aziz/ RTM

KUALA LUMPUR, 5 Mei- Peniaga di ibu negara yang ditemui RTM menyambut baik pengumuman Perdana Menteri hari ini berhubung penurunan kadar sewaan premis perniagaan milik agensi kerajaan yang disifatkan mampu meringankan beban kos operasi ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peniaga merasa lega kerana pengurangan sewa membantu ringankan kos operasi ketika harga barang meningkat dan pelanggan beralih ke platform dalam talian.
  • Pengusaha butik dan kedai bunga kata pengurangan sewa tepat pada masanya untuk mengurangkan tekanan kos susulan krisis bekalan global.
  • Lebihan daripada pengurangan sewa boleh digunakan untuk menjana pendapatan dan memperkukuh kedudukan kewangan keluarga.
  • Perdana Menteri arah turunkan kadar sewa premis agensi kerajaan dan menyeru pihak berkuasa tempatan mengambil langkah sama.

Seorang peniaga kedai bunga, Hasnah Hasan berkata langkah tersebut memberi kelegaan khususnya dalam keadaan ekonomi mencabar selain peningkatan kos barangan dan perubahan corak pembelian pelanggan.

“Membantu sangat-sangat sebab sekarang kos tinggi, barang semua naik harga. Pelanggan pun sudah beralih ke platform dalam talian, jadi pengurangan ini memang banyak membantu.

“Kepada Perdana Menteri, kami ucapkan terima kasih dan syukur,” katanya ketika ditemui di Medan MARA, di sini hari ini.

Sementara itu, pengusaha butik pakaian di Busana@Menara MARA, Nazim Hashim berkata langkah tersebut tepat pada masanya terutama ketika peniaga berdepan tekanan kos susulan krisis bekalan global.

“Memang sangat membantu. Harga barang meningkat dan kos semakin tinggi. Jika kadar sewa diturunkan, ia dapat meringankan beban dan membolehkan kami fokus kepada perniagaan serta bayaran sewa,” katanya.

Seorang lagi penyewa di Medan MARA, Norzelina Abdul Aziz berkata pengurangan kadar sewa memberi ruang kepada peniaga meningkatkan pendapatan dan memperkukuh kedudukan kewangan keluarga.

“Ia sangat membantu dalam keadaan ekonomi semasa. Lebihan daripada pengurangan sewa boleh digunakan untuk menjana pendapatan dan memperbaiki ekonomi keluarga,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kadar sewa premis perniagaan milik semua agensi kerajaan Persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan UDA Holdings Bhd diturunkan mulai bulan ini bagi membantu peniaga kecil mengurangkan kos operasi.

Langkah itu sebahagian daripada usaha kerajaan dalam membantu peniaga dan penjaja yang turut terkesan akibat krisis bekalan global ketika ini.

Perdana Menteri juga menyeru agar semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk mengambil pendekatan sama mulai bulan ini.