
ALOR SETAR, 5 Mei – Polis Kedah sedang menjalankan siasatan berhubung kes tanam janin di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ghufran, di sini, yang dipercayai berkait dengan kejadian keganasan rumah tangga di Sungai Petani, baru-baru ini.
- Janin dipercayai berusia kira-kira 12 minggu milik isteri suspek, keguguran selepas mangsa dipukul.
- Suspek lelaki 43 tahun dan isterinya dibawa ke lokasi bersama pasukan forensik untuk kerja penggalian.
- Hasil penggalian hanya menemui tisu kering tidak menyerupai janin; sampel dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan.
- Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan; mangsa penjawat awam kini menerima rawatan hospital akibat kecederaan serius.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, janin berkenaan dipercayai kandungan berusia kira-kira 12 minggu milik isteri suspek yang keguguran selepas mangsa dipukul.
Menurut beliau, polis telah membawa suspek lelaki berusia 43 tahun bersama isterinya ke lokasi kejadian dengan diiringi pasukan forensik bagi menjalankan kerja penggalian pada Khamis lalu.
“Hasil penggalian mendapati bahan yang ditemui bukan dalam bentuk janin sempurna, sebaliknya hanya tisu yang telah kering dan tidak lagi menyerupai janin.
“Sampel tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan sama ada ia merupakan tisu janin atau sel manusia,” katanya pada sidang media di sini.
Tambah beliau, polis turut membuka satu lagi kertas siasatan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Mangsa yang juga seorang penjawat awam kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani selepas mengalami kecederaan serius.