Tentera Darat patahkan cubaan seludup lembu bernilai lebih RM200,000

Lembu seludup bernilai ribuan ringgit dirampas PGA dalam serbuan di sempadan Kelantan/Foto PGA

KOTA BHARU, 5 Mei – Tentera Darat Malaysia (TDM) mematahkan cubaan menyeludup masuk 20 ekor lembu dari Thailand yang dianggarkan bernilai RM225,000 dalam satu operasi di sempadan, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemantauan UAV mengesan sebuah lori tiga tan di lokasi berhampiran sempadan pada 6.45 petang.
  • UAV turut mendedahkan lembu di wilayah Thailand menunggu untuk diseludup masuk melalui laluan Sungai Golok.
  • Seorang suspek dipercayai tempatan melarikan diri dan meninggalkan lori serta muatan ketika serbuan.
  • Lori Isuzu tiga tan dan ternakan tanpa permit dirampas, diserahkan kepada kastam untuk tindakan selanjutnya.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pasukan operasi yang sedang melaksanakan tinjauan menggunakan mini Unmanned Aerial Vehicle (UAV) telah mengesan pergerakan sebuah lori tiga tan pada 6.45 petang, dalam keadaan mencurigakan di lokasi berhampiran sempadan.

“Pemantauan menerusi UAV berkenaan turut mendedahkan anggaran 20 ekor lembu yang berada di wilayah Thailand sedang menunggu masa untuk diseludup masuk ke Malaysia melalui laluan Sungai Golok,” menurut kenyataan itu.

Sebaik sahaja serbuan dilakukan, seorang lelaki yang dipercayai warga tempatan bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian.

“Suspek bertindak meninggalkan kenderaan itu bersama muatannya bagi mengelakkan daripada ditahan.

“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi, sebanyak 20 ekor lembu yang tidak mempunyai permit import yang sah dan sebuah lori jenis Isuzu tiga tan yang digunakan untuk mengangkut ternakan berkenaan telah dirampas,” menurut kenyataan itu.

Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM225,000.00, dan susulan itu satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lubok Stol, Rantau Panjang di Pasir Mas.

Kesemua rampasan telah diserahkan kepada pihak kastam, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Bunga untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA