
GUA MUSANG, 5 Mei – Seorang pendaki wanita ditemukan maut selepas dipercayai tergelincir ke dalam Sungai Betis ketika melakukan aktiviti mendaki di Pos Balar.
- Mangsa sebahagian daripada kumpulan 11 yang memulakan ekspedisi pada 1 Mei di Gunung Gerah, Gunung Bilah dan Gunung Biyed.
- Mangsa dilaporkan hilang pada 7.30 malam; usaha pencarian awal oleh ahli kumpulan gagal menemui mangsa.
- Operasi menyelamat melibatkan Polis dan Bomba, mengambil masa kira-kira empat jam 4WD dan hampir 10 jam berjalan kaki.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata mangsa, seorang ibu tunggal dari Kuala Lumpur, dilaporkan hilang pada 7.30 malam.
Beliau berkata mangsa merupakan sebahagian daripada kumpulan 11 pendaki yang memulakan ekspedisi pada 1 Mei lepas di sekitar Gunung Gerah, Gunung Bilah dan Gunung Biyed.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai ketika kumpulan berkenaan menyeberangi Sungai Betis.
“Usaha pencarian awal oleh ahli kumpulan bagaimanapun gagal menemui mangsa pada malam kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa ditemukan pada 8 pagi keesokan harinya, kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
Beliau berkata operasi mengeluarkan mayat mangsa dijalankan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira empat jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda sebelum meneruskan hampir 10 jam perjalanan kaki ke lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sik turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan serta membuat perancangan rapi sebelum menjalankan aktiviti pendakian, khususnya di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai liputan komunikasi.