Hak pekerja gig kini lebih terjamin, tidak lagi terpinggir

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof

KUALA LUMPUR, 30 April – Pekerja ekonomi gig akan menikmati perlindungan lebih menyeluruh menerusi pelaksanaan Akta Pekerja Gig bagi menjaga kebajikan dan keselamatan sosial golongan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Akta memperluas perlindungan kepada pekerja gig yang sebelum ini di luar kerangka pekerjaan formal.
  • Fokus akta pada kebajikan, keselamatan sosial dan hak pekerja sektor pekerjaan tidak formal.
  • Kerajaan memberi perhatian kepada kemahiran, kebajikan dan pendapatan kerana sumbangan ekonomi pekerja gig.
  • Akta menyediakan perlindungan teratur melalui PERKESO, ketelusan perjanjian, dan mekanisme penyelesaian pertikaian.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, dengan akta itu pekerja gig yang sebelum ini berada di luar kerangka perlindungan pekerjaan formal turut mendapat pembelaan sewajarnya.

Beliau berkata, Akta Gig memberi tumpuan kepada perlindungan kebajikan, keselamatan sosial dan hak pekerja bagi golongan yang terbabit dalam sektor pekerjaan tidak formal.

“Dulu pekerja gig ini tidak dilindungi sepenuhnya kerana kebanyakan peruntukan sedia ada lebih tertumpu kepada sektor pekerjaan formal.

“Dengan Akta Gig yang kini dikuatkuasakan, kita mahu pastikan semua yang terbabit dalam sektor ini mendapat perlindungan sewajarnya melalui skim diperkenalkan kerajaan,” katanya selepas menjadi tetamu jemputan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri Kota Media hari ini.

Azman Mohd berkata, kerajaan turut memberi perhatian terhadap aspek kemahiran, kebajikan dan pendapatan pekerja gig memandangkan golongan itu kini menjadi antara penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi negara.

Katanya, pelaksanaan Akta Gig juga membolehkan pekerja sektor berkenaan menikmati perlindungan lebih teratur termasuk melalui skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang bersesuaian.

“Pekerja gig ini adalah aset kepada pembangunan negara, sebab itu kerajaan bukan sahaja melihat kepada sumbangan mereka, tetapi juga memastikan kebajikan dan masa depan mereka terus terjamin,” katanya.

Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) mula berkuat kuasa pada 31 Mac 2026.

Akta itu memberi manfaat kepada kira-kira 1.64 juta individu yang terbabit dalam ekonomi gig di Malaysia melalui perlindungan hak pekerja, ketelusan perjanjian, mekanisme penyelesaian pertikaian yang jelas serta perlindungan keselamatan sosial.