Budaya membaca perlu diperkukuh, bentuk minda positif – Datuk Fahmi

Datuk Fahmi Fadzil menghadiri Majlis Perasmian Jom Baca Bersama Kementerian Komunikasi 2026  di Putrajaya/Foto RTM

PUTRAJAYA, 30 April – Budaya membaca perlu diperkukuh dalam masyarakat bagi melahirkan pemikiran yang lebih positif dan berdaya saing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif Jom Baca dan Tabung Buku memangkin minat membaca, menyasarkan warga kementerian dan memberi manfaat kepada komuniti.
  • Pengagihan buku meningkatkan akses bahan bacaan bagi komuniti yang menganggap buku sebagai sesuatu mahal.
  • Perlu kaji penggunaan AI dalam penyampaian maklumat; teknologi audiobaca berguna, namun asas kekal pada penulisan dan pembacaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, inisiatif seperti program Jom Baca dan Tabung Buku mampu menjadi pemangkin meningkatkan minat membaca, khususnya di kalangan penjawat awam dan komuniti.

“Budaya membaca adalah sangat penting, bukan sahaja untuk menimba ilmu tetapi juga membentuk pemikiran yang lebih positif, terutama di kalangan anak-anak muda,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Jom Baca Bersama Kementerian Komunikasi 2026 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan program berkenaan bukan sahaja menyasarkan warga kementerian, malah memberi manfaat kepada komuniti melalui pengagihan buku yang dikumpulkan.

“Bagi sesetengah komuniti, buku mungkin dilihat sebagai sesuatu yang mahal. Program seperti ini dapat meningkatkan akses kepada bahan bacaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh perkembangan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penyampaian maklumat, termasuk teknologi yang membolehkan teks dibacakan secara audio.

Pendekatan tersebut mempunyai kelebihan tersendiri bergantung kepada cara individu menerima maklumat, sama ada melalui pembacaan atau pendengaran.

“Namun, kita perlu kaji secara menyeluruh kaedah penyampaian maklumat. Walaupun teknologi berkembang, asasnya tetap penulisan dan pembacaan,” katanya.