
SHAH ALAM, 29 April – Kejohanan Barebow Asia 2026 akan menjadi medan terbaik untuk pemanah kebangsaan mempamerkan prestasi terbaik pada pertandingan kompetitif.
- 14 negara mengesahkan penyertaan.
- Khairul Anuar: beraksi di laman sendiri jadi pembakar semangat; tekanan ada namun sokongan tempatan tingkatkan keyakinan.
- Kos peralatan tinggi, sehingga RM15,000 satu set; pemanah perlu bekerja keras dan kumpul dana sendiri untuk kelengkapan.
- Atlet wanita Siti Norharlisa mahu kekal fokus, kawal emosi dan mengharumkan nama Malaysia.
Sebanyak 14 negara telah mengesahkan penyertaan pada kejohanan yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam.
Atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad berkata, beraksi di laman sendiri akan menjadi pembakar semangat untuk mempamerkan prestasi terbaik.
Menurut beliau, walaupun tekanan tetap dirasai, sokongan di laman sendiri memberi kelebihan untuk meningkatkan keyakinan atlet.
“Tekanan itu memang ada, namun bagi saya ia bukanlah satu penghalang. Yang paling penting, apabila beraksi di tempat sendiri, ia menjadi pembakar semangat untuk kami mempamerkan prestasi yang terbaik.
“Apabila menjadi tuan rumah, kami perlu memberikan usaha yang lebih. Jika perlu, kami sanggup menjalani latihan pada waktu malam. Itulah semangat yang kami ada untuk memastikan prestasi berada pada tahap terbaik,” katanya.
Jelas beliau, cabaran utama dalam saingan barebow adalah dari segi persiapan yang perlu dilakukan secara sendiri termasuk kos peralatan yang tinggi.
“Dalam sukan memanah, kos yang diperlukan boleh dikatakan agak tinggi, mencecah sehingga RM15,000 bagi satu set peralatan. Oleh itu, setiap pemanah perlu bekerja keras serta mengumpul dana sendiri untuk mendapatkan kelengkapan yang lengkap,” katanya.
Sementara itu, atlet memanah barebow wanita negara, Siti Norharlisa Rinny Masturi turut berharap agar dapat mengekalkan fokus serta mengawal emosi sepanjang saingan berlangsung.
“Sasaran saya, moga saya dapat buat persembahan yang terbaik saya dapat kawal emosi saya dan saya berharap saya dapat mengharumkan nama Malaysia,” katanya.
Kejohanan yang akan berlangsung selama empat hari bermula esok itu menghimpunkan atlet memanah barebow dari seluruh Asia dan dijangka menjadi platform penting dalam meningkatkan standard sukan berkenaan di peringkat serantau.
Malaysia selaku tuan rumah turut menyasarkan pencapaian lebih baik berbanding edisi terdahulu.