Sukan SEA 2027: NAAM cadang barebow dipertandingkan

Presiden NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan.

SHAH ALAM, 29 April – Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) kini dalam perancangan untuk memasukkan saingan barebow pada Sukan SEA 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkembangan barebow di Malaysia semakin memberangsangkan dan berpotensi ke peringkat lebih tinggi.
  • Barebow belum dipertandingkan di Olimpik, Sukan Asia dan Komanwel; ia menawarkan lima pingat tambahan.
  • Jurulatih maklum persiapan pasukan pada tahap terbaik; atlet sihat dan dijangka memberi 100 peratus.

Menurut Presiden NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan, perkembangan barebow di Malaysia semakin memberangsangkan sekali gus berpotensi besar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Kita dalam perancangan untuk memasukkan sukan ini ke Sukan SEA akan datang kerana Barebow ini belum lagi dipertandingkan di peringkat Olimpik, sukan Asia dan sukan Komanwel. Kita cuba masuk dahulu di peringkat Sukan SEA.

“Berdasarkan keputusan kejohanan kali ini, jika hasilnya baik, kita akan cuba bawa masuk ke Sukan SEA akan datang di Malaysia tahun depan. Barebow boleh dimasukkan sebagai satu lagi kategori dan menambah peluang pingat yang dipertandingkan. Barebow sendiri mempunyai lima pingat yang akan dipertandingkan.” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu sesi latihan rasmi dan pemeriksaan peralatan bagi Kejohanan Barebow Asia 2026 di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam hari ini.

Sementara itu, jurulatih barebow negara Shahidallah Jahaya memaklumkan persiapan pasukan bagi menghadapi kejohanan tersebut berada di tahap terbaik.

“Alhamdulillah, apa yang saya dapati semua atlet berada dalam keadaan baik. Kesihatan terjaga. Diharap mereka dapat memberi 100 peratus untuk beraksi pada kejohanan kali ini,” katanya.