Piala Uber: juara bertahan China menanti Malaysia di peringkat suku akhir

FB BWF

HORSENS, 29 April – Skuad badminton wanita negara berdepan misi getir apabila diundi menentang juara bertahan China pada aksi suku akhir Piala Uber 2026 di Forum Horsens, di sini, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia mara ke suku akhir sebagai naib juara Kumpulan B.
  • China juara Kumpulan A dan pasukan paling berjaya dengan 16 kejuaraan Piala Uber.
  • Malaysia layak ke suku akhir buat kali pertama sejak 16 tahun; pernah layak 2004, 2008 dan 2010.
  • Keputusan Kumpulan B: mengalahkan Turkiye 3-2, Afrika Selatan 5-0 dan tewas 1-4 kepada Jepun.

Malaysia mara ke peringkat suku akhir selaku naib juara Kumpulan B manakala China, yang merupakan pasukan paling berjaya di Piala Uber dengan 16 kejuaraan, pula bergelar juara Kumpulan A.

Hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan layak ke peringkat suku akhir.

Malaysia, yang akan beraksi di peringkat suku akhir buat kali pertama dalam masa 16 tahun di sini, pernah layak sebanyak tiga kali sebelum ini iaitu pada edisi 2004, 2008 dan 2010.

Skuad negara sebelum ini membuka saingan Kumpulan B mengatasi Turkiye 3-2, diikuti kejayaan membenam Afrika Selatan 5-0 dan tumpas 1-4 kepada juara enam kali, Jepun.

Dalam pada itu, majlis undian peringkat kalah mati hari ini menyaksikan juara enam kali yang menjuarai Kumpulan B, Jepun, berdepan naib juara Kumpulan D Thailand.

Juara tiga kali Indonesia, yang memenangi Kumpulan C, pula akan membuat perhitungan dengan tuan rumah, Denmark, selaku naib juara Kumpulan A.

Korea Selatan, juara dua kali yang mengungguli Kumpulan D, akan bertemu Taiwan yang layak ke suku akhir selepas muncul naib juara Kumpulan C.

Saingan akhir Piala Uber 2026, yang bermula 24 April lepas akan berakhir 3 Mei ini.- BERNAMA