
KUALA LUMPUR, 28 April – Penglibatan aktif dan kerjasama yang lebih konstruktif bersama syarikat teknologi gergasi, Google, diperlukan dalam usaha memperkukuh keselamatan dalam talian.
- Kerugian penipuan dalam talian di Malaysia mencecah RM2.9 bilion bagi tahun 2025.
- Hasrat mengadakan inisiatif bersama Google dan Asean Foundation bagi meningkatkan literasi digital.
- Kerajaan sedia memperkukuh kerjasama dengan Google meneroka penggunaan AI untuk menangani penipuan canggih.
- Google Play Protect dikuatkuasakan sejak Mac, menghalang sideloading aplikasi bagi mengurangkan risiko APK berbahaya mencuri data.
Khususnya, dalam mendepani cabaran penipuan dalam talian yang semakin kompleks.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu penting susulan kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia kini mencecah RM2.9 bilion bagi tahun 2025.
“Hasrat saya adalah berkumpul dengan Google dan Asean Foundation bagi menerapkan pelbagai inisiatif, terutama literasi digital.
”Perkara tersebut penting untuk mengenalpasti ancaman penipuan dan cara menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) secara lebih baik bagi menjaga diri kita dan masyarakat.
“Kerajaan bersedia perkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk Google bagi meneroka penggunaan AI dalam menangani ancaman penipuan yang semakin canggih ketika ini,” katanya.

Tambah beliau, Google telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang proaktif bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin.
Usaha tersebut termasuk mengadakan kerjasama erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Sukacita saya maklumkan Google Play Protect yang mula dikuatkuasakan sejak Mac lalu merupakan hasil perbincangan antara Google dengan MCMC berdasarkan maklum balas teknikal yang peroleh.
“Melalui ciri keselamatan ini, pengguna telefon Android di Malaysia kini tidak lagi dibenarkan memuat turun aplikasi secara ‘side loading’ daripada sumber luar selain Google Play Store.
“Langkah ini diambil bagi mengekang risiko aplikasi berbahaya seperti fail APK yang berpotensi mencuri data sensitif daripada peranti pengguna,” jelasnya.
Datuk Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Dialog Keselamatan Dalam Talian Asia Pasifik (APAC) Google 2026 di ibu negara.