PM seru JPJ perkukuh ketegasan, profesionalisme

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

BATU KAWAN, 25 April – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya terus memperkukuh ketegasan dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPJ perlu perkukuh ketegasan dan profesionalisme dalam penguatkuasaan.
  • Pendigitalan digalakkan untuk tingkatkan integriti dan kurangkan tohmahan.
  • Tingkatkan keupayaan agensi bagi mengekalkan integriti dan menangani kritikan awam.
  • Imej JPJ semakin positif hasil penambahbaikan berterusan dalam sistem dan perkhidmatan.

Usaha itu perlu bergerak seiring dengan pendigitalan bagi meningkatkan tahap integriti serta menepis sebarang tohmahan terhadap agensi berkenaan.

“Semua rakyat, tanpa pengecualian, berurusan dengan JPJ dan agensi itu memikul tanggungjawab besar namun sebahagian tugas JPJ juga tidak disenangi, terutama apabila tindakan diambil terhadap individu yang melakukan kesalahan tetapi masih mempertahankan diri.

“Sehubungan itu JPJ perlu terus meningkatkan keupayaan, profesionalisme dan ketegasan dalam melaksanakan tugas. Sebab itu, langkah pendigitalan amat wajar kerana dapat mengurangkan kemungkinan timbulnya tohmahan.

“Saya juga mengakui, jika dibandingkan dengan keadaan puluhan tahun lalu, imej JPJ kini jauh lebih baik dan saya ucapkan tahniah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ ke 80 dan Karnival Mega JPJ MADANI di sini.

Meskipun JPJ pernah berdepan pelbagai kritikan sebelum ini, imej jabatan itu kini menunjukkan perubahan yang lebih positif berbanding beberapa dekad lalu.

Perkembangan tersebut merupakan hasil penambahbaikan berterusan dalam sistem serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.