Piala Thomas: Malaysia sasar permulaan meyakinkan berdepan England

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 April- Skuad badminton lelaki negara memburu permulaan meyakinkan apabila berdepan England dalam aksi pembukaan Piala Thomas, dengan aspek moral dan kesiapsiagaan mental menjadi fokus utama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kem latihan tujuh hari di Herning, Denmark berjaya meningkatkan motivasi dan kesediaan pemain menjelang perlawanan, menurut Rexy Mainaky.
  • Kelebihan Malaysia dalam perseorangan (Leong Jun Hao menewaskan Cholan Kayan) dan ketiadaan beregu utama England memberi kelebihan.
  • Rekod kemenangan 5-0 pada 2022 tidak menjamin kejayaan; jurulatih tekankan fokus dan disiplin perlu dikekal.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky menegaskan kem latihan selama tujuh hari di Herning, Denmark berjaya meningkatkan motivasi pemain menjelang perlawanan pertama.

“Kita juga berharap semangat dan motivasi yang sama dapat dikekalkan semasa di Horsens nanti, terutamanya menjelang aksi pembukaan menentang England. Saya percaya, dari segi moral dan mental, setiap pemain yang bakal diturunkan berada pada tahap kesediaan tertinggi untuk memberikan yang terbaik buat pasukan,” katanya.

Dari sudut analisis, skuad negara memiliki kelebihan terutama dalam acara perseorangan apabila Leong Jun Hao mempunyai rekod kemenangan ke atas pemain England, Cholan Kayan.

Jun Hao yang kini menghuni ranking ke-25 dunia pernah menewaskan lawannya itu pada saingan peringkat kumpulan edisi 2022.

Kelebihan turut memihak Malaysia apabila England tidak menyenaraikan beregu utama mereka, Ben Lane-Sean Vendy yang berada dalam kelompok 12 terbaik dunia.

Gandingan negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula pernah menewaskan pasangan England, Rory Easton- Zach Russ dalam edisi sama, sekali gus meningkatkan keyakinan untuk mengulangi pencapaian.

Namun bagi edisi kali ini, Zach Russ dijangka bergandingan dengan Alex Green selepas perubahan dalam senarai pemain England.

Sebagai rekod, Malaysia mencatat kemenangan bergaya 5-0 ke atas England pada edisi 2022, namun barisan kejurulatihan mengingatkan rekod lalu bukan jaminan sebaliknya fokus dan disiplin perlu dikekalkan bagi memastikan kemenangan kali ini.