
KUALA LUMPUR, 24 April – Penangguhan bayaran ansuran pembiayaan sehingga enam bulan ditawarkan Bank Rakyat kepada pelanggan yang terjejas kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, baru-baru ini.
- Bank Rakyat tawarkan penangguhan bayaran untuk pelbagai produk pembiayaan termasuk Pembiayaan Perumahan-i, Peribadi-i, Kenderaan-i, Sewa Beli, Mikro-i, Pajak Gadai-i serta Kad Kredit-i.
- Cara memohon: pelanggan individu dan perniagaan e-mel ke telerakyat@bankrakyat.com.my; pemegang Kad Kredit-i gunakan kkredit@bankrakyat.com.my.
- Kebakaran menjejaskan lebih 9,000 penduduk, hampir 1,000 rumah; bank berharap penangguhan beri kelegaan sementara.
Bank Rakyat dalam kenyataannya memaklumkan, pengangguhan itu melibatkan pelbagai produk antaranya Pembiayaan Perumahan-i, Peribadi-i, Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Mikro-i, Pajak Gadai-i serta Kad Kredit-i.
“Pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas boleh mengemukakan permohonan menerusi e-mel ke telerakyat@bankrakyat.com.my.
Bagi pemegang Kad Kredit-i pula, permohonan boleh dibuat melalui e-mel ke kkredit@bankrakyat.com.my. Kesemua permohonan itu tertakluk terma dan syarat,” menurut kenyataan tersebut.
Kemudahan penangguhan bayaran tersebut diharap dapat memberi kelegaan sementara kepada pelanggan terlibat untuk mengurus kewangan mereka.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi bank atau menghubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1-300-800-800.
Kebakaran yang berlaku di Kampung Bahagia pada Ahad, menjejaskan lebih 9,000 penduduk dan memusnahkan hampir 1,000 rumah.