Malaysia mampu jadi Negara Pembaca menjelang 2030

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 April – Malaysia mampu mencapai aspirasi sebagai Negara Pembaca menjelang 2030 melalui usaha berterusan dan sokongan semua pihak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perpustakaan desa dan komuniti diperkasakan sebagai hab ilmu, interaksi sosial dan pembangunan masyarakat setempat.
  • Agenda pendigitalan perpustakaan dilipatgandakan selaras perkembangan teknologi dan keperluan generasi kini.
  • Industri buku dan penerbitan diperkukuh dengan sokongan kepada ekosistem penulisan, penerbitan dan pengedaran bahan bacaan berkualiti.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, usaha menggalakkan budaya membaca di negara ini diterajui oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang merupakan agensi bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Bersempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut hari ini, beliau menekankan tiga komitmen utama Kerajaan MADANI dalam usaha mencapai aspirasi tersebut.

Antaranya memperkasakan perpustakaan desa dan komuniti sebagai hab ilmu, interaksi sosial dan pembangunan masyarakat setempat, serta melipatgandakan agenda pendigitalan perpustakaan selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan generasi masa kini.

Komitmen lain ialah memperkukuh industri buku dan penerbitan negara, termasuk menyokong ekosistem penulisan, penerbitan dan pengedaran bahan bacaan berkualiti.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut memetik kata-kata ahli falsafah Yunani Purba, Plato yang berbunyi ‘Books give a soul to the universe, wings to the mind, flight to the imagination and life to everything’.