
TEL AVIV, 16 Jun– Mahkamah Israel menolak rayuan untuk membebaskan seorang doktor Palestin dari Gaza yang ditahan tanpa pertuduhan sejak penghujung 2024.
- Keputusan mahkamah dibuat berdasarkan bahan siasatan sulit yang tidak didedahkan kepada pihak pembelaan.
- Dr Hussam muncul menerusi pautan video di mahkamah dan kelihatan lebih kurus berbanding sebelum ini.
- PHRI, peguam dan pertubuhan hak asasi dakwa beliau ditahan bersendirian dan terima layanan buruk serta makanan tidak mencukupi.
- Tentera Israel dakwa hubungan dengan Hamas tanpa bukti awam; Hamas dan Kementerian Kesihatan Gaza menafikan.
Dr Hussam Abu Safiya, pengarah Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, merupakan antara beberapa petugas kesihatan yang masih ditahan di Israel tanpa didakwa di mahkamah.
Menurut peguamnya, keputusan mahkamah dibuat berdasarkan bahan siasatan sulit yang tidak didedahkan kepada pihak pembelaan.
Dr Hussam tampil menerusi pautan video ketika prosiding mahkamah minggu lalu.
Beliau dilihat lebih kurus berbanding ketika ditahan sebelum ini.
Kumpulan hak asasi Physicians for Human Rights Israel (PHRI) mendakwa Dr Hussam turut ditempatkan dalam tahanan bersendirian sejak hampir dua minggu lalu.
Peguam serta beberapa pertubuhan hak asasi turut mendakwa beliau tidak menerima makanan yang mencukupi dan mengalami layanan buruk ketika dalam tahanan.
Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan oleh perkhidmatan penjara Israel.
Tentera Israel sebelum ini mendakwa Dr Hussam mempunyai kaitan dengan Hamas, namun tidak mengemukakan bukti secara terbuka.
Dakwaan tersebut turut dinafikan oleh Hamas dan Kementerian Kesihatan Gaza.
Dr Hussam dikenali kerana peranannya menguruskan Hospital Kamal Adwan ketika konflik di Gaza.
Paling mendapat perhatian, ketika beliau enggan meninggalkan bayi dan pesakit yang sedang menerima rawatan selepas hospital itu diarah dikosongkan pada 2023. -REUTERS