MATRADE kekal unjuran perdagangan tiga hingga lima peratus

Pertumbuhan perdagangan negara 2026 diunjur pada 3-5% / FOTO RTM

 

RINGKASAN BERITA AI
  • Prestasi suku pertama 2026 menunjukkan momentum perdagangan yang stabil walaupun persekitaran global tidak menentu.
  • Dagangan Mac 2026 melebihi jangkaan; MATRADE akan semak unjuran jika kemerosotan ekonomi global menyebabkan kemelesetan.
  • Pemantauan MATRADE mendapati 90.5% pengeluar terkesan oleh gangguan global termasuk kos logistik dan kekurangan bahan mentah.

KUALA LUMPUR, April 21 – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengekalkan unjuran pertumbuhan perdagangan negara bagi 2026 pada tiga hingga lima peratus.

Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, setakat ini prestasi perdagangan bagi suku pertama 2026 menunjukkan momentum perdagangan negara kekal stabil, di sebalik persekitaran global yang tidak menentu.

”Dagangan pada bulan Mac 2026 turut menunjukkan prestasi di luar jangka. Jadi berdasarkan petunjuk bagi bulan tersebut, kita dapat meramalkan situasi yang akan berlaku dalam beberapa bulan akan datang.

”Jika keadaan ekonomi global semakin terkesan atau ketegangan terus meningkat sehingga menyebabkan kemelesetan global, mungkin unjuran pertumbuhan perdagangan perlu disemak semula,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi perdagangan suku pertama 2026 Malaysia.

Jelasnya, MATRADE kekal berhati-hati terhadap prospek perdagangan global berikutan kesan tidak langsung seperti peningkatan kos pengangkutan dan premium risiko boleh menjejaskan daya saing eksport dan prestasi perdagangan secara keseluruhan.

Pada suku pertama 2026, perdagangan Malaysia berkembang 10.4 peratus kepada RM789.85 bilion berbanding tempoh sama pada 2025.

Eksport meningkat 12.7 peratus kepada RM426.53 bilion, manakala lebihan dagangan berjumlah RM63.22 bilion.

Bagaimanapun, hasil pemantauan MATRADE dan data industri menunjukkan 90.5 peratus pengeluar kini terkesan oleh gangguan global, khususnya melalui peningkatan kos logistik dan kekurangan bahan mentah.##