
KOTA TINGGI, 21 April – Sebanyak 24 daripada 40 kelas tambahan bagi projek perintis penempatan murid enam tahun ke Tahun Satu di Johor tahun hadapan dirancang dibina di daerah ini dan dijangka siap pada Disember ini.
- Kaedah modular dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dipakai bagi mempercepatkan pelaksanaan projek sekolah.
- Surat Setuju Terima (SST) akan dikeluarkan kepada syarikat terlibat pada penghujung Mei.
- Lapan projek diberi keutamaan dan dijangka dimulakan pada bulan hadapan.
- Projek Jambatan Kota Tinggi Bypass capai 85 peratus siap dan dijangka dibuka kepada orang ramai pada 28 Julai.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, Surat Setuju Terima (SST) akan dikeluarkan kepada syarikat terlibat pada penghujung Mei ini.
Menurut beliau, kesemua sekolah berkenaan akan dibina menggunakan kaedah modular dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang mempercepatkan tempoh pelaksanaan projek.
“Kaedah modular IBS ini membolehkan projek dilaksanakan dengan lebih pantas. Di bawah pelaksanaan bersama Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya (JKR), ia melibatkan beberapa komponen termasuk sekolah berkepadatan tinggi dan kemudahan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di sini.
Tambah beliau, daripada keseluruhan projek, lapan daripadanya akan diberi keutamaan untuk dimulakan pada bulan hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Dr Ahmad berkata projek Jambatan Kota Tinggi Bypass bagi Laluan Persekutuan FT003 kini mencapai kemajuan 85 peratus dan dijangka dibuka kepada pengguna pada 28 Julai ini.
Katanya, jambatan sepanjang 464 meter dengan lebar 22.6 meter itu menelan kos RM104 juta dan dibina bagi menggantikan jambatan lama yang rendah serta menjejaskan aliran air Sungai Kota Tinggi.