Tiga individu disyaki seleweng RM230 juta dana zakat ditahan

Antara kenderaan mewah yang disita hasil penahanan 3 individu disyaki selewang dana zakat / Foto SPRM Selangor

KUALA LUMPUR, 21 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan tiga individu termasuk seorang pemimpin kanan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira 230 juta ringgit.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan awal mendapati dana dipindahkan ke akaun syarikat sejak 2018 untuk tujuan pelaburan peribadi.
  • SPRM menyita 18 kenderaan mewah termasuk Porsche dan Mercedes, serta jam tangan berjenama dan wang tunai.
  • 33 akaun bank dibekukan bernilai RM120 juta; penyitaan hartanah dianggarkan RM11 juta; kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.

Penahanan tersebut turut membongkar pemilikan pelbagai aset mewah, dipercayai hasil daripada manipulasi dana awam bagi kepentingan peribadi.

Dua pengarah syarikat dan seorang timbalan pengerusi NGO berusia antara 50-an hingga 60-an itu ditahan dalam operasi di sekitar Lembah Klang petang tadi.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai bersubahat memindahkan dana berjumlah RM 230 juta ke akaun syarikat milik mereka bagi tujuan pelaburan peribadi sejak tahun 2018.

Susulan tangkapan tersebut, SPRM menyita 18 kenderaan mewah termasuk Porsche dan Mercedes, selain jam tangan berjenama serta wang tunai.

Turut dibekukan adalah 33 akaun bank bernilai RM120 juta dan penyitaan hartanah yang dianggarkan mencecah 11 juta ringgit.

Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli mengesahkan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok bagi permohonan reman.