Satu daripada 12 pintu rumah panjang Batu 8 Limbang terbakar

Salah sebuah rumah panjang di Batu 8, Limbang musnah terbakar/Foto Bomba Limbang

LIMBANG, 22 April – Seorang wanita warga emas terselamat selepas satu daripada 12 pintu rumah panjang di Rumah Sengat, Batu 8, Jalan Kubong musnah sepenuhnya dalam kebakaran petang Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jentera bomba tiba selepas menerima panggilan kecemasan pukul 3.40 petang, dari balai sejauh 18 kilometer.
  • Dua pintu kediaman bersebelahan mengalami kerosakan kecil manakala sembilan pintu lain tidak terjejas.
  • Struktur dinding pemisah dan sumber air mencukupi membantu anggota bomba mengawal kebakaran sehingga operasi ditamatkan 5.20 petang.

Pemilik rumah dikenali sebagai Tijan Awe, 62, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala dua pintu kediaman bersebelahan turut terjejas.

Ketua Bomba Zon 7 Limbang, Ramlan Marajan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.40 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Limbang bergegas ke lokasi sejauh 18 kilometer (km)

“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah panjang jenis separuh kekal dengan satu pintu musnah 100 peratus.

“Dua pintu bersebelahan mengalami kerosakan kecil, manakala sembilan pintu lain tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, struktur dinding pemisah antara unit rumah serta sumber air yang mencukupi membantu anggota bomba mengawal kebakaran daripada terus merebak.

Operasi pemadaman dan pemeriksaan akhir ditamatkan sepenuhnya pada 5.20 petang selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal.