
KUALA LUMPUR, 21 April – MTT Shipping and Logistics Berhad mencatatkan permulaan positif pada dagangan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia, hari ini.
- Optimis terhadap prospek industri dipacu oleh kepesatan perdagangan intra-Asia melibatkan China, Asia Tenggara dan India.
- Penyenaraian mengutip RM652.5 juta, sebahagian besar diperuntuk untuk pembelian 12 kapal kontena dalam tiga tahun.
- Pengurusan sedia hadapi ketidaktentuan geopolitik Asia Barat melalui mekanisme faktor penyesuaian bahan api.
- Jumlah penghantaran dan pengendalian kontena kekal kukuh walaupun terdapat sedikit kesesakan pelabuhan, operasi berjalan seperti biasa.
Meskipun berdepan cabaran bekalan global, syarikat perkapalan tempatan itu optimis terhadap prospek industri yang dipacu oleh kepesatan perdagangan intra-Asia melibatkan pasaran China, Asia Tenggara, dan India.
Pada pembukaan dagangan pagi tadi, saham syarikat dibuka pada harga RM1.08, meningkat lima sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.03.
Melalui penyenaraian ini, MTT Shipping berjaya meraih dana sebanyak RM 652.5 juta, di mana sebahagian besar daripadanya diperuntukkan bagi pembelian 12 buah kapal kontena baru dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Pengarah Urusannya, Ooi Lean Hin memaklumkan, pihaknya telah bersedia mendepani ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat menerusi mekanisme faktor penyesuaian bahan api bagi menjamin kelestarian operasi.
”Setakat ini, jumlah penghantaran dan pengendalian kontena kami masih kekal kukuh, walaupun terdapat sedikit kesesakan melibatkan beberapa pelabuhan. Namun, operasi perniagaan masih berjalan seperti biasa.
”Justeru, kami tidak melihat sebarang impak negatif buat masa ini,” katanya pada sidang media selepas penyenaraian syarikat tersebut di Pasaran Utama Bursa Malaysia.