Perak fokus tingkat penginapan pelancong, tarik pelabur hotel antarabangsa

Strategi utama merangsang industri pelancongan

IPOH, 21 April – Kerajaan Negeri Perak kini mempergiat usaha memanjangkan tempoh penginapan pelancong sebagai strategi utama merangsang industri pelancongan, sekali gus menarik pelaburan daripada rangkaian hotel antarabangsa ke negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ramai pelancong hanya singgah di lokasi tumpuan sebelum bermalam di Pulau Pinang atau Kuala Lumpur.
  • Perkembangan hotel butik di Ipoh memenuhi keperluan pelancong yang mementingkan keselesaan pada harga berpatutan.
  • Kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan produk pelancongan dan peningkatan kemudahan penginapan berkualiti untuk memanjangkan tempoh penginapan.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, pendekatan tersebut diberi keutamaan berikutan masih ramai pelancong tidak bermalam di Perak meskipun negeri itu terletak di lokasi strategik.

Menurut beliau, kebanyakan pelancong hanya singgah di beberapa lokasi tumpuan sebelum meneruskan perjalanan untuk bermalam di Pulau Pinang atau Kuala Lumpur.

Katanya, perkembangan hotel butik di Ipoh ketika ini dilihat mampu memenuhi keperluan pelancong yang mementingkan keselesaan pada harga berpatutan.

“Hotel butik menawarkan penginapan yang selesa dan bersih, yang menjadi keutamaan pelancong berbanding kemewahan hotel bertaraf lima bintang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan pada Persidangan Dewan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Tambah beliau, usaha memanjangkan tempoh penginapan amat penting bagi meningkatkan keyakinan pelabur, khususnya dalam kalangan rangkaian hotel global, selain membantu memperkukuh data sektor pelancongan negeri.

Sehubungan itu, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan produk pelancongan yang lebih menarik serta peningkatan kemudahan penginapan berkualiti bagi menarik pelancong untuk tinggal lebih lama di Perak.