
KUALA LUMPUR, 21 APRIL – Inisiatif e-Invois yang diperkenalkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjadi pemangkin kepada kecekapan operasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
- Sistem e-Invois percuma memudahkan pengurusan cukai dan mempercepat peralihan usahawan ke ekosistem perniagaan digital.
- Reka bentuk sistem membantu peniaga mengurus transaksi jualan secara lebih telus dan sistematik.
- Karnival menghimpunkan agensi kerajaan dan usahawan untuk memberikan bimbingan teknikal dan sokongan pengembangan perniagaan.
Menerusi Karnival PMKS dan e-Invois yang berlangsung di Kuala Lumpur, sistem percuma ini bukan sahaja memudahkan pengurusan cukai, malah mempercepatkan peralihan usahawan tempatan ke arah ekosistem perniagaan digital.
Sistem ini direka untuk membantu peniaga mengurus transaksi jualan dengan lebih telus dan sistematik.
Menurut Pengarah Bahagian e-Invois LHDN, Dr. Rasyidah Che Rosli, inisiatif ini selaras dengan agenda pendigitalan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Rata-rata usahawan yang menyertai karnival dua hari itu menyifatkan e-Invois sebagai pendedahan penting dalam mengembangkan skala perniagaan.
Bagi usahawan dari Kedah, Moh Yuk Yin berkata inisiatif itu membantu memperluaskan lagi perniagaannya dan memberi pendedahan baharu berkaitan e-Invois.
Mohd Rasyidi Ramli pula berkata, pengenalan e-Invois memberikan impak positif kepada perkembangan peniagaan usahawan IKS ke skala yang lebih besar.
Program tersebut berjaya menghimpunkan lebih 20 agensi kerajaan dan hampir 30 usahawan dari seluruh negara.
Kehadiran agensi-agensi ini bertujuan memberikan bimbingan teknikal secara terus kepada usahawan IKS yang masih belum menguasai mekanisme pendokumentasian elektronik tersebut.