Usahawan NADI@Shopee: Lebih 100 peserta berjaya diperkasa

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 21 April – Lebih 100 usahawan tempatan berjaya diperkasa menerusi program Usahawan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) @ Shopee, sejak Februari lalu hingga kini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Usahawan NADI @ Shopee bimbing usahawan menyesuaikan perniagaan kepada pasaran dalam talian dan menjana pendapatan lebih mampan.
  • Kolaborasi dengan Shopee memperkukuh peranan NADI menyediakan akses internet dan memangkin pemerkasaan usahawan ekonomi digital.
  • MCMC fokus galakkan komuniti luar bandar manfaat capaian internet berkelajuan tinggi untuk memasarkan produk tempatan melalui platform digital.
  • Lebih 20,000 usahawan telah menyertai Usahawan NADI, menerima bimbingan berstruktur, sokongan berterusan, dan peluang luaskan pasaran.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, program itu memberi bimbingan kepada peserta untuk menyesuaikan perniagaan dengan keperluan pasaran dalam talian, sekali gus menjana pendapatan secara lebih mampan.

Menurutnya, kolaborasi bersama Shopee berhasil memperkukuh peranan NADI, bukan sahaja menyediakan akses internet malah memangkin pemerkasaan usahawan dalam ekonomi digital.

“Bagi Kementerian Komunikasi, khususnya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), fokus kita adalah menggalakkan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar memanfaatkan capaian internet berkelajuan tinggi.

“Ini penting supaya mereka dapat memahami dan menggunakan pelbagai platform termasuk Shopee, sebagai medium untuk memasarkan produk tempatan,” katanya pada Majlis Pelancaran program Usahawan NADI @ Shopee di sini.

Beliau berharap lebih ramai usahawan menyertai program berkenaan yang dijadual berlangsung hingga Ogos ini.

Mengulas perkembangan program Usahawan NADI yang diperkenalkan pada 2024, beliau berkata lebih 20,000 usahawan telah menyertainya setakat ini.

Peserta menerima pelbagai manfaat termasuk bimbingan berstruktur dan sokongan berterusan bagi meningkatkan kemahiran, memperkukuh daya saing serta memperluas potensi pasaran perniagaan.

Usahawan yang berminat menyertai Usahawan NADI @ Shopee atau program di bawah Perkhidmatan Pintar NADI boleh mendapatkan maklumat melalui Pusat NADI terdekat atau saluran komunikasi rasmi MCMC.