Malaysia hab selamat pelaburan global

Steven Sim pada pelancaran Pensijilan Ekonomi Kitaran ASEAN (CEC) untuk PKS.

KUALA LUMPUR, 21 April – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi selamat dan premium bagi perdagangan serta pelaburan ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dasar neutral konsisten, kestabilan politik dan hubungan ekonomi kukuh meletakkan Malaysia pada kedudukan strategik untuk menarik pelabur antarabangsa.
  • Pensijilan Ekonomi Kitaran ASEAN membantu PKS tingkat kecekapan, daya saing dan akses pasaran sambil memenuhi piawaian ESG global.
  • Kerajaan, agensi dan institusi kewangan bersedia menyokong PKS mengamalkan kelestarian serta meneroka peluang perniagaan antarabangsa.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, dasar neutral negara yang konsisten, kestabilan politik relatif serta hubungan ekonomi yang kukuh meletakkan Malaysia dalam kedudukan strategik untuk terus menarik minat pelabur antarabangsa.

“Dalam persekitaran hari ini, aspek keselamatan dan kebolehpercayaan menjadi nilai utama. Malaysia bukan lagi sekadar destinasi berdaya saing dari segi kos, tetapi kini destinasi selamat untuk perdagangan, pelaburan dan perkhidmatan,” katanya pada majlis pelancaran Pensijilan Ekonomi Kitaran ASEAN (CEC) untuk PKS di sini, hari ini.

Menurut beliau, situasi global semasa yang dicorakkan oleh ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan fenomena ‘economic decoupling’ membuka peluang besar kepada negara yang mampu mengekalkan hubungan perdagangan terbuka serta fleksibiliti strategik.

Tambahnya, kedudukan Malaysia yang terletak di tengah-tengah hab ekonomi utama dunia, selain disokong kekuatan modal insan dan tenaga kerja berbilang budaya, terus meningkatkan daya tarikan negara sebagai rakan dagang utama.

“Rakyat Malaysia bukan sahaja mempunyai kemahiran bahasa, malah memiliki kefahaman budaya yang membolehkan mereka berinteraksi dengan pelbagai pasaran termasuk ASEAN, China dan Asia Barat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan komuniti perniagaan perlu segera menyesuaikan diri dengan standard global yang semakin tinggi, khususnya berkaitan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Katanya, inisiatif seperti Pensijilan Ekonomi Kitaran ASEAN mampu membantu PKS meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh daya saing serta memperluas akses ke pasaran antarabangsa.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan menerusi agensi berkaitan dan institusi kewangan sentiasa bersedia membantu PKS dalam usaha mengamalkan kelestarian serta meneroka peluang baharu di peringkat global.