Malaysia komited perkukuh peranan dalam rantaian nilai ekonomi digital dan AI

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ditemu bual CGTN America.

KUALA LUMPUR, 21 April – Keupayaan Malaysia dalam menyediakan sumber tenaga serta kedudukan strategiknya di rantau Asia Pasifik menjadi pemangkin kemasukan pelaburan bagi pusat data berskala besar ke negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh keupayaan AI untuk meningkatkan nilai tambah ekonomi dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi.
  • Perjumpaan dengan syarikat AI global untuk memperluas peranan Malaysia dalam rantaian nilai ekonomi digital dan AI antarabangsa.
  • Fokus kepada kerjasama strategik: pelaburan bernilai tinggi, pembangunan infrastruktur digital, pemindahan teknologi dan kepakaran.
  • Mengutamakan penggunaan AI bertanggungjawab dengan tadbir urus kukuh, keselamatan data dan etika penggunaan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kombinasi faktor itu sekali gus turut meningkatkan potensi negara sebagai hab digital serantau.

“Kira-kira 26 peratus pusat data yang diluluskan telah siap dibina dan ini sudah menunjukkan perubahan ketara termasuk peningkatan penggunaan perkhidmatan digital dalam negara serta eksport perkhidmatan tersebut,” katanya.

”Bagaimanapun, Malaysia bukan sahaja mahu menjadi lokasi penempatan infrastruktur digital, malah berhasrat untuk memperkukuh keupayaan dalam bidang AI bagi meningkatkan nilai tambah ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi,” jelasnya dalam sesi temu bual bersama CGTN America sempena Mesyuarat Musim Bunga (mesyuarat tahunan pertama) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Washington DC, Amerika Syarikat.

Sementara itu, menerusi hantaran yang dikongsikan di platform X, Datuk Seri Amir Hamzah turut mengadakan pertemuan bersama beberapa syarikat AI dan teknologi global di San Francisco.

Beliau berkata, usaha tersebut bertujuan memperluas peranan Malaysia dalam rantaian nilai ekonomi digital dan kecerdasan buatan di peringkat antarabangsa.

”Pertemuan ini menumpukan kepada potensi kerjasama strategik dalam mempercepat pembangunan ekosistem AI negara, termasuk penerokaan pelaburan bernilai tinggi, pembangunan infrastruktur digital, serta pemindahan teknologi dan kepakaran.

”Perbincangan turut menyentuh bagaimana AI boleh dimanfaatkan secara bertanggungjawab untuk memacu kecekapan sektor awam dan industri strategik, dengan penekanan kepada tadbir urus yang kukuh, keselamatan data, dan penggunaan yang beretika,” katanya.

Jelasnya, pada masa sama usaha menarik lebih banyak aktiviti teknologi berimpak tinggi ke Malaysia terus dipergiat, sejajar dengan aspirasi untuk menjadikan negara sebagai hab serantau bagi inovasi digital dan AI.