
KUALA LUMPUR, 21 April – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) melancarkan Pensijilan Ekonomi Kitaran (CEC) ASEAN, iaitu pensijilan pertama seumpamanya di rantau ini, bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengamalkan amalan perniagaan mampan serta meningkatkan daya saing.
- Pensijilan CEC menyediakan rangka kerja berstruktur selaras piawaian GRI untuk mengurangkan sisa, tingkatkan kecekapan sumber dan mempersiapkan PMKS menghadapi EPR.
- SAMENTA mensasarkan 15,000 PKS dalam tiga tahun, menjana lebih RM3 bilion pendapatan tambahan dan penjimatan kos.
- Memeterai MoU dengan MIDF dan CGC untuk akses pembiayaan hijau serta kadar faedah subsidi serendah empat peratus menyokong peralihan hijau PMKS.
Presiden SAMENTA, Datuk William Ng berkata, pensijilan itu menandakan satu langkah penting dalam mengalihkan PKS daripada model ekonomi linear tradisional “take-make-waste” kepada pendekatan ekonomi kitaran.
Inisiatif tersebut adalah kesinambungan kepada usaha bawah Rancangan Malaysia Ke-13 yang menekankan peningkatan skala Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta penerapan prinsip amalan Alam sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Kita kini berada dalam krisis tenaga global yang meningkatkan kos dan memberi tekanan kepada rantaian bekalan.
“Namun hari ini, konsep kitaran bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik ekonomi,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran program berkenaan yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong di sini, hari ini.
Menurut Datuk William Ng, ekonomi kitaran global diunjurkan mencecah AS$578 bilion (AS$1=RM3.94) menjelang akhir 2026 dan berpotensi menjana sehingga AS$4.5 trilion dalam output ekonomi menjelang 2030.
Bagi PKS, penerapan prinsip ekonomi kitaran akan membantu mengurangkan kebergantungan terhadap sumber terhad, menurunkan intensiti tenaga serta melindungi perniagaan daripada ketidaktentuan harga komoditi.
Dibangunkan dengan sokongan Global Reporting Initiative (GRI), pensijilan itu menyediakan rangka kerja berstruktur yang selaras dengan piawaian antarabangsa bagi membantu PKS meminimumkan sisa serta meningkatkan kecekapan sumber.
Beliau memaklumkan, program itu akan diperluaskan ke seluruh rantau melalui Kaukus PKS ASEAN bagi menyelaraskan piawaian kelestarian untuk dianggarkan 70 juta PKS di Asia Tenggara.
“CEC juga merupakan alat penting bagi PKS untuk menghadapi peraturan Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) yang akan datang, yang akan meletakkan tanggungjawab kepada pengeluar terhadap keseluruhan kitaran hayat produk mereka.
“Dengan mengguna pakai rangka kerja ini lebih awal, PKS dapat mereka bentuk semula produk, membangunkan sistem data sisa serta meneroka nilai baharu melalui penukaran sisa kepada bahan mentah, selain memperkukuh pelaporan kelestarian menggunakan Piawaian GRI,” katanya.
SAMENTA menyasarkan untuk membawa 15,000 PKS ke dalam ekonomi kitaran dalam tempoh tiga tahun, yang dijangka menjana lebih RM3 bilion dalam bentuk pendapatan tambahan dan penjimatan kos.
“Bagi menyokong usaha ini, kami hari ini memeterai memorandum persefahaman bersama Malaysian Industrial Development Finance Bhd dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd, bagi memastikan PKS yang menerima pensijilan ini mendapat akses kepada pembiayaan hijau serta kadar faedah bersubsidi serendah empat peratus untuk menyokong peralihan hijau mereka,” katanya.
Dalam majlis itu, sebanyak 20 PKS turut menerima pensijilan CEC, sekali gus menjadi perintis dalam memajukan amalan perniagaan mampan di Malaysia.