
SAUDARA PENGARANG
- Memilih haiwan tidak cukup umur, terlalu kurus atau sakit sehingga korban menjadi tidak sah dan manfaat pengagihan terbantut.
- Akad wakalah tidak jelas atau tidak disempurnakan, boleh menjejaskan kesahan ibadah korban terutama penyertaan melalui platform dalam talian.
- Juru sembelih tak berkelayakan atau menggunakan pisau tumpul, menyebabkan sembelihan tidak sempurna dan penderitaan haiwan.
- Pengagihan dan pengurusan daging buruk, termasuk pembolotan dan menukarkan daging kepada upah, bertentangan dengan maqasid dan semangat korban.
Ibadah korban merupakan syiar Islam yang dilaksanakan oleh umat Islam di seluruh dunia. Ibadah ini mempunyai kepentingan yang tersendiri. Ia bukan sekadar proses mengalirkan darah, tetapi terkandung hikmah yang besar kepada setiap pihak sama ada dalam aspek spiritual, sosial mahupun kebajikan.
Walaupun begitu, dalam pelaksanaan ibadah korban, terdapat pelbagai titik kritikal yang mempunyai implikasi hukum terhadap kesahan ibadah dan tanggungjawab pihak yang terlibat. Ia merangkumi penentuan hukum sama ada sah atau tidak sah dan pahala atau dosa di samping implikasi terhadap status sembelihan tersebut sama ada termasuk dalam kategori ibadah korban atau sembelihan biasa.
Dalam situasi ini, kesilapan boleh berlaku di pihak peserta korban, penerima daging korban, jawatankuasa dan pihak urusetia korban, juru sembelih dan juru lapah haiwan korban.
Senario ini berlaku kerana ibadah korban hanya dilaksanakan sekali setahun dan jika tiada proses tafaqquh yang baik, ia boleh menyebabkan pelbagai pihak tidak memahami ibadah korban dengan baik dan terjebak dalam kesilapan yang disengajakan atau tidak. Kebiasaannya, kesilapan kritikal dalam pelaksanaan ibadah korban adalah seperti berikut:
Kesilapan Berkaitan Haiwan Korban
Pertama, mengorbankan haiwan yang tidak cukup umur. Terdapat peserta korban yang membeli haiwan ternakan tanpa pengesahan usia sebenar. Mereka tidak memeriksa gigi haiwan atau tertipu dengan pengakuan penjual yang tidak jujur.
Kebiasaannya, umur minimum bagi lembu dan kambing ialah dua tahun, manakala bebiri pula setahun atau telah gugur gigi susu serta tumbuh gigi kekal. Dalam keadaan ini, korban adalah tidak sah dan menjadi sembelihan biasa yang halal dimakan.
Kedua, haiwan korban yang kurus dan tiada isi. Peserta korban memilih haiwan yang murah tanpa menilai keadaan fizikal, sekali gus mengabaikan aspek kesihatan haiwan.
Dalam keadaan ini, tujuan ibadah korban serta manfaat pengagihan daging tidak dapat dicapai dengan sempurna. Disebabkan kualiti haiwan korban tersebut, ia boleh jadi tidak sah sekiranya terlampau kurus atau sakit. Ini kerana ibadah korban menuntut pemilihan haiwan yang baik, sempurna dan berkualiti.
Ketiga, haiwan korban tidak diberikan makanan dan minuman sebelum pelaksanaan ibadah korban. Kebiasaannya haiwan korban akan dihantar sehari atau dua hari lebih awal dari tarikh korban.
Kadangkala haiwan korban ditambat di bawah terik panas matahari. Jadi haiwan korban akan mengalami rasa lapar dan dahaga sekiranya tidak diberikan makanan dan minuman. Justeru memberi makan dan minum terhadap haiwan korban termasuk dalam sifat ihsan dan kebajikan haiwan.
Kesilapan Berkaitan Akad dan Wakalah
Keempat, wakalah atau wakil korban yang tidak jelas. Dalam melaksanakan ibadah korban, biasanya ada beberapa kontrak wakalah yang terlibat sama ada korban di dalam negara atau luar negara. Ia termasuklah wakalah untuk membeli haiwan korban, wakalah untuk menyembelih haiwan korban dan wakalah pengagihan daging korban.
Kadangkala terdapat peserta korban yang hanya membayar wang tanpa akad wakalah yang jelas terutamanya penyertaan ibadah korban melalui platform dalam talian. Keadaan ini boleh memberi kesan terhadap kesahan ibadah korban sekiranya akad wakalah tidak dilakukan dengan sempurna.
Kesilapan Berkaitan Penyembelihan
Kelima, kesilapan yang sering terjadi adalah juru sembelih yang menggunakan pisau yang tumpul. Perkara ini terjadi akibat pisau tidak diasah hingga tajam, atau menggunakan pisau yang sama secara berulang kali tanpa diasah semula.
Pisau yang tumpul menyebabkan haiwan mengalami kesakitan dan penderitaan akibat sembelihan yang lama dan menyakitkan, di samping risiko sembelihan tidak sempurna jika saluran yang wajib tidak putus. Tindakan juru sembelih ini menyalahi asas ihsan terhadap haiwan korban yang digariskan dalam Islam.
Keenam, juru sembelih yang tiada kelayakan dan kurang pengalaman. Kemahiran dalam penyembelihan diperlukan bagi memastikan urat halkum (saluran pernafasan) dan marih (saluran makanan) terputus sempurna, di samping urat wadajain (saluran darah) disunatkan putus agar darah dapat mengalir cepat dan haiwan dapat mati dengan segera.
Hirisan yang cetek atau tidak tepat kedudukannya, atau haiwan korban tidak diikat kemas hingga menyebabkan pergerakan yang banyak ketika sembelihan dilakukan. Jika halkum atau marih tidak dipotong, sembelihan berisiko untuk menjadi tidak sah dan haiwan yang disembelih dianggap sebagai bangkai.
Ketujuh, haiwan korban direbahkan dan diikat tanpa ihsan. Dalam hal ini, pekerja korban yang terlibat bertindak menarik atau menyeret haiwan dan menjatuhkannya secara kasar. Kemudiannya haiwan diikat terlalu ketat hingga menyukarkan pernafasan. Malah ada orang yang duduk di atas haiwan korban.
Keadaan ini menyebabkan haiwan mengalami tekanan, trauma dan penderitaan. Bahkan, ada juga haiwan korban yang mengamuk dan melarikan diri. Situasi ini berlaku kerana para pekerja korban yang tidak terlatih, kurang kemahiran serta pengalaman dan aktiviti penyembelihan jarang dilakukan. Sewajarnya aspek belas kasihan perlu diterapkan kerana ia termasuk dalam kebajikan haiwan.
Kesilapan Berkaitan Pengagihan dan Pengurusan Korban
Kelapan, terdapat juga kesilapan yang melibatkan aspek pengurusan dan pengagihan daging korban, iaitu memberi upah daging korban kepada juru sembelih, juru lapah atau pekerja korban. Daging korban bukanlah harta yang boleh dijadikan nilai upah.
Oleh itu, upah hendaklah dibayar secara berasingan kepada pekerja yang terlibat dengan korban kerana ia adalah kontrak berbeza. Bayaran ini boleh dimasukkan dalam kos pengurusan. Namun begitu, daging haiwan korban masih boleh diagihkan kepada mereka sebagai sedekah.
Kesembilan, membolot daging korban. Situasi ini berlaku apabila peserta korban mengambil keseluruhan daging untuk kegunaan sendiri tanpa diagihkan kepada pihak lain.
Selain itu, terdapat juga pekerja atau urusetia yang menyimpan bahagian terbaik secara sembunyi atau mengagihkannya hanya kepada kelompok tertentu atau keluarga mereka sahaja.
Sifat tamak dalam monopoli dan pembolotan daging korban ini jelas bertentangan dengan maqasid korban. Sebaiknya, ia diagihkan 1/3 untuk peserta korban, 1/3 dihadiahkan kepada jiran tetangga atau orang kaya dan 1/3 disedekahkan kepada fakir miskin.
Kesilapan Berkaitan Pengurusan Sisa Korban
Kesepuluh, sisa haiwan korban tidak diuruskan dengan teratur dan baik. Situasi ini berlaku apabila proses penyembelihan dilakukan di luar premis rumah sembelihan.
Akibatnya, darah haiwan telah dibuang di kawasan awam dan sisa organ, najis atau kulit ditinggalkan begitu sahaja. Ia akan menyebabkan berlakunya pencemaran alam dan sumber air serta meninggalkan bau yang tidak menyenangkan.
Kesimpulannya, pelaksanaan ibadah korban bukan sekadar proses penyembelihan haiwan, tetapi turut merupakan ibadah yang mempunyai dimensi hukum, sosial, kebajikan haiwan dan maqasid.
Dengan itu, setiap pihak yang terlibat sama ada peserta korban, urusetia, pekerja mahupun juru sembelih hendaklah memahami fiqh korban dengan baik agar ibadah yang dilaksanakan menepati tuntutan syarak serta mencapai objektif pengabdian dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Jelasnya, ibadah korban yang dilaksanakan dengan asas ilmu dan kefahaman yang mantap, pengurusan yang sistematik dan berkemahiran serta sikap ihsan bukan sahaja memenuhi tuntutan syarak, bahkan mencerminkan akhlak Islam terhadap manusia dan haiwan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli
Pensyarah
Jabatan Fiqh-Usul & Sains Gunaan
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
E-mel : mohdanuar@um.edu.my