Anak muda Gaza bina perpustakaan kumpul 6,000 buah buku

Anak muda di Gaza meluangkan masa membaca buku di perpustakaan dikenali sebagai “Phoenix Library”/Foto AFP

GAZA, 22 April – Anak muda di Gaza membangunkan sebuah perpustakaan komuniti sebagai simbol kebangkitan budaya selepas ribuan buku diselamatkan daripada runtuhan akibat serangan berterusan Rejim Zionis Israel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perpustakaan 'Phoenix' menempatkan kira-kira 6,000 naskhah buku sastera, ilmiah dan koleksi kanak-kanak.
  • Pengasas Omar Hamad berkata buku dikutip dari celah runtuhan, dibersihkan dan disusun semula selepas banyak perpustakaan musnah.
  • Perpustakaan itu simbol kebangkitan budaya dan memberi ruang kepada penduduk kembali mendekati ilmu selepas kehilangan koleksi peribadi.

Perpustakaan dikenali sebagai “Phoenix Library” di kawasan Rimal itu menempatkan kira-kira 6,000 naskhah buku sastera dan ilmiah, termasuk koleksi kanak-kanak.

Pengasasnya, Omar Hamad berkata perpustakaan itu terhasil daripada usaha panjang menyelamatkan bahan bacaan yang rosak akibat kemusnahan.

“Kami mengumpulkan buku dari celah runtuhan, banyak dalam keadaan rosak sebelum dibersihkan dan disusun semula,” katanya.

Katanya, ratusan bangunan perpustakaan di Gaza musnah, termasuk merosakkan koleksi lama yang mempunyai nilai sejarah.

“Banyak buku lama, termasuk sebelum 1948, musnah dalam serangan, sekali gus menjejaskan sistem pendidikan di Gaza,” katanya.

Menurutnya, nama “Phoenix” dipilih sebagai simbol kebangkitan daripada kehancuran.

Sementara itu, seorang pengunjung, Aya Al-Masri berkata perpustakaan itu memberi ruang kepada penduduk untuk kembali mendekati ilmu selepas kehilangan koleksi peribadi mereka.

“Kami kehilangan banyak buku, tetapi kini cuba membina semula apa yang pernah ada,” katanya.

Perpustakaan itu dilihat sebagai usaha kecil tetapi signifikan dalam memulihkan semula warisan ilmu dan budaya di Gaza di tengah konflik berterusan. – AFP