JIPS siasat kes polis pijak suspek

Gambar hiasan

KULIM, 21 April – Siasatan berhubung insiden seorang suspek dipijak anggota polis selepas ditahan di Jalan Sungai Ular di sini tertumpu kepada aspek pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) tangkapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anggota dipindahkan ke bahagian pentadbiran sementara menunggu siasatan JIPS.
  • Suspek direman tiga hari; rakaman tular menunjukkan kepala suspek dipijak.
  • Pemeriksaan menemui dua bungkusan disyaki air ketum, ujian air kencing positif methamphetamine.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, DSP Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, pihaknya turut mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan terhadap anggota terlibat.

“Anggota terbabit juga telah ditukarkan ke bahagian pentadbiran sementara menunggu siasatan oleh pihak JIPS,” katanya kepada RTM hari ini.

Sementara itu, lelaki berkenaan direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dikeluarkan Mahkamah Kulim hari ini.

Semalam, polis mengesan rakaman video tular berdurasi 29 saat di media sosial yang memaparkan insiden melibatkan seorang anggota polis dan suspek lelaki berusia 32 tahun.

Kejadian dipercayai berlaku di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra, Kulim.

Dalam rakaman itu, suspek dilihat ditarik daripada motosikal sehingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak anggota polis terbabit.

Siasatan awal mendapati anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah cuba menahan suspek di Jalan Sungai Ular.

Bagaimanapun, suspek dipercayai bertindak agresif dengan menendang motosikal anggota polis sebelum melarikan diri menggunakan motosikal secara melulu, melawan arus serta membahayakan pengguna jalan raya lain.

Suspek berjaya diberkas dan hasil pemeriksaan menemukan dua bungkusan plastik lut sinar disyaki air rebusan daun ketum.

Selain itu, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan siasatan lanjut sedang lakukan polis.