10 negara gesa gencatan segera di Lubnan

Keadaan kemanusiaan yang semakin buruk dan krisis perpindahan di Lubnan membimbangkan/Foto REUTERS

WASHINGTON, 15 April – Sepuluh negara termasuk Kanada, United Kingdom, Australia dan Jepun menggesa permusuhan di Lubnan dihentikan segera susulan situasi kemanusiaan yang semakin meruncing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan dan peningkatan orang kehilangan tempat tinggal akibat konflik.
  • Pengutukan terhadap kematian anggota pengaman PBB dan peningkatan risiko terhadap petugas kemanusiaan di selatan Lubnan.
  • Laporan tiga anggota pengaman Indonesia maut; siasatan awal PBB kaitkan tembakan kereta kebal Israel dan letupan terkait Hezbollah.
  • Serangan Israel meningkat selepas pelancaran roket Hizbullah; lebih 2,000 korban dan kira-kira 1.2 juta dipindahkan.

Dalam kenyataan bersama, negara terlibat menyatakan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan dan peningkatan jumlah penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik berterusan.

“Keadaan kemanusiaan yang semakin buruk dan krisis perpindahan di Lubnan amat membimbangkan,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut mengutuk sekeras-kerasnya kematian anggota pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) serta peningkatan risiko terhadap petugas kemanusiaan di selatan Lubnan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas tiga anggota pengaman Indonesia dilaporkan maut bulan lalu, dengan siasatan awal PBB mendapati seorang terbunuh akibat tembakan kereta kebal Israel.

Manakala dua lagi dipercayai akibat bahan letupan yang dikaitkan dengan Hezbollah.

Konflik di Lubnan semakin memuncak selepas Israel meningkatkan serangan udara susulan pelancaran roket oleh Hizbullah pada 2 Mac lalu, beberapa hari selepas tercetus konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran.

Serangan Israel setakat ini dilaporkan mengorbankan lebih 2,000 penduduk dan memaksa kira-kira 1.2 juta orang meninggalkan kediaman.

Dalam kenyataan sama, negara terlibat menyambut baik gencatan senjata antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, sambil menegaskan keperluan mendesak untuk menghentikan konflik di Lubnan.

Sementara itu, Iran menyatakan konflik di Lubnan perlu dimasukkan dalam sebarang rundingan untuk menamatkan ketegangan serantau, namun Israel menolak cadangan tersebut dan menuntut agar Hizbullah dilucutkan senjata. – REUTERS