
KUALA LUMPUR, 11 April– Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) mengekalkan barisan kepimpinan sedia ada bagi penggal 2026-2028, dalam usaha memastikan kesinambungan agenda pembangunan sukan itu di tanah air.
- Sazali Husain kekal Presiden, dibantu Ahmad Yuszairy sebagai Timbalan Presiden dan barisan Naib Presiden sedia ada.
- Perkenalkan dua muka baharu: Ruzanaliza Abdul Ghani sebagai Naib Presiden wanita dan Raja Shahrul Azmi dalam jawatankuasa tertinggi.
- Besbol masih dianggap baharu di negara; pernah ketinggalan 15 tahun akibat penggantungan oleh Majlis Olimpik Malaysia.
- Fokus kepada program akar umbi dan persiapan atlet untuk menjadikan sukan lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.
Sazali Husain terus diberi mandat selaku Presiden dan akan dibantu oleh Ahmad Yuszairy Mohamad selaku Timbalan Presiden serta barisan Naib Presiden sedia ada.
Bagi memperkukuh struktur pentadbiran, BFM turut memperkenalkan dua muka baharu iaitu Ruzanaliza Abdul Ghani sebagai Naib Presiden wanita dan Raja Shahrul Azmi di barisan jawatankuasa tertinggi.
“Untuk pengetahuan semua, sukan besbol ini masih dianggap baharu di negara kita. Walaupun bermula sejak tahun 2000, kita sebenarnya ketinggalan selama 15 tahun ekoran penggantungan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).”
“Meskipun baru kembali aktif dalam tempoh 10 hingga 15 tahun berbanding negara luar, perkembangan kita sangat agresif. Buktinya, kita berjaya mencapai ranking ke-71 dunia bagi kategori lelaki dan ke-23 bagi wanita. Namun, kita perlu bekerja lebih keras untuk meningkatkan lagi pencapaian persekutuan di peringkat antarabangsa,” kata Sazali kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-26 Persekutuan Besbol Malaysia di ibu negara.
Langkah mengekalkan kepimpinan tersebut dilihat sebagai strategi proaktif bagi memperkasa tadbir urus persatuan ke arah menjadikan sukan besbol lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.
Fokus kini tertumpu sepenuhnya kepada pelaksanaan program akar umbi serta persiapan atlet bagi kejohanan-kejohanan utama dalam kalendar sukan akan datang.