
NILAI, 10 April– Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menyasarkan untuk mara ke pentas akhir Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 yang akan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, dari 24 hingga 26 April ini.
- Menjadikan kejohanan ini sebagai persiapan utama bagi Sukan Asia; menyimpan kemuncak prestasi untuk temasya itu.
- Sasaran mencapai podium realistik tetapi tidak menjanjikan kemenangan; pilih perlumbaan sukar untuk menilai tahap berbanding pelumba dunia.
- Penganjuran di negara sendiri dipandang positif untuk kembangkan sukan akar umbi dan manfaatkan fasiliti bertaraf dunia melahirkan pelapis.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu menyifatkan sasaran tersebut sebagai realistik sekali gus mampu membuka peluang terbaik buatnya untuk meraih kedudukan podium.
Menurut beliau, fokus utama ketika ini adalah untuk memperkemas persiapan menjelang temasya lebih besar, khususnya Sukan Asia 2026 di Jepun.
“Harapan saya adalah untuk melayakkan diri ke peringkat akhir terlebih dahulu, dan seterusnya berdiri di atas podium. Saya tidak mahu menjanjikan kemenangan kerana ia mungkin kedengaran terlalu tinggi, tambahan pula saya belum melakukan proses tapering dan belum berada pada tahap prestasi terbaik. Kami mahu menyimpan kemuncak prestasi itu untuk Sukan Asia.”
“Walaupun saya boleh memilih untuk melakukan ‘tapering’ bagi perlumbaan ini, matlamat utama saya tetap Sukan Asia. Jadi, kejohanan ini lebih kepada persiapan rapi sebelum menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia nanti,” kata Datuk Mohd Azizulhasni, hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas sesi lawatan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari ke Velodrom Nasional, di sini.
Mengulas cabaran beraksi di laman sendiri, juara dunia 2017 yang dikenali sebagai ‘Pocket Rocketman’ itu mengakui situasi tersebut boleh menjadi tekanan tambahan, namun dalam masa sama turut memberikan kelebihan dari segi sokongan moral.
Beliau turut menjangkakan persaingan sengit pada edisi kali ini dengan kehadiran lebih ramai pelumba bertaraf dunia, termasuk dari Eropah yang dijangka menyertai perlumbaan selepas pusingan di Hong Kong.
“Bagi saya, lebih banyak cabaran adalah lebih baik. Saya lebih gemar perlumbaan yang sukar kerana ia memberi gambaran sebenar tahap kemampuan saya. Saya juga teruja untuk bersaing dengan pelumba terbaik dunia seperti Harrie Lavreysen dan Nicholas Paul bagi menilai di mana tahap saya ketika ini,” ujarnya.
Meskipun kini berusia 38 tahun, Azizulhasni terus membuktikan keupayaannya untuk bersaing di peringkat tertinggi walaupun belum berada di tahap prestasi terbaik.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan penganjuran Piala Dunia Berbasikal Trek di Malaysia sebagai satu perkembangan positif yang mampu merancakkan lagi pembangunan sukan tersebut di peringkat akar umbi.
Tegasnya, negara memiliki kemudahan bertaraf dunia yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi melahirkan lebih ramai pelumba pelapis pada masa hadapan.
“Ini adalah sesuatu yang telah lama dinantikan. Kita mempunyai fasiliti yang baik, jadi peluang seperti ini perlu dimanfaatkan untuk membangunkan lebih ramai pelumba pada masa hadapan,” katanya.
Pusingan akhir di Nilai ini dijangka menjadi pentas penting dalam menilai prestasi atlet negara menjelang cabaran utama sepanjang tahun ini.