KBS perkukuh pembangunan atlet pelapis

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari ketika ditemui media selepas lawatan ke Velodrom Nasional Nilai/Foto RTM

NILAI, 10 April – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi penekanan serius terhadap pembangunan atlet pelapis bagi memastikan prestasi sukan negara kekal kompetitif di peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu ada pelapis dalam setiap sukan untuk elakkan jurang besar antara atlet senior dan generasi baharu.
  • Majlis Sukan Negara perlu terus mengenal pasti dan membangunkan bakat baharu secara sistematik.
  • Atlet elit sedia ada bertindak sebagai pencetus inspirasi kepada generasi muda.
  • Persiapan skuad berbasikal trek terkawal tetapi beberapa perkara perlu disegerakan bagi kelancaran Piala Dunia.

Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, usaha melahirkan pelapis berkualiti perlu diperkukuh bagi mengelakkan jurang besar antara atlet senior dan generasi baharu.

“Kita perlu ada pelapis dalam setiap sukan. Tidak boleh wujud jurang yang besar. Saya yakin Majlis Sukan Negara (MSN) sedang dan akan terus memainkan peranan penting dalam mengenal pasti serta membangunkan bakat-bakat baharu,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan sesi lawatan ke Velodrom Nasional di sini, hari ini.

Dalam masa sama, beliau menegaskan atlet elit sedia ada juga memainkan peranan penting sebagai pencetus inspirasi kepada generasi muda.

Sementara itu, Mohammed Taufiq berpuas hati dengan persiapan skuad berbasikal trek negara menjelang pusingan terakhir Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 yang dijadualkan berlangsung di sini, dari 24 hingga 26 April ini.

Beliau memaklumkan bahawa secara keseluruhan, persiapan berada dalam keadaan terkawal, namun beberapa perkara dikenal pasti untuk disegerakan bagi memastikan kejohanan bertaraf antarabangsa itu berjalan lancar.