
ULASAN BERITA
- Pelbagai laluan selepas SPM: universiti awam, politeknik, kolej komuniti, TVET dan pusat latihan kemahiran diiktiraf.
- Utamakan TVET atau Tingkatan Enam untuk peluang pekerjaan dan laluan terus ke pengajian peringkat tinggi.
- Calon kohort pertama tanpa UPSR dan PT3 tunjuk ketahanan; kerajaan perkenal penilaian Tahun 4 dan Pengukuran Tingkatan 3.
- Keprihatinan terhadap penurunan prestasi Bahasa Melayu dan beberapa mata pelajaran STEM; perlu keseimbangan akademik, kokurikulum dan sahsiah.
Tahniah kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025. Bagi yang kurang cemerlang, jangan putus asa dan khuatir.
Masih ada peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Selain universiti awam, banyak institusi pendidikan lain yang menawarkan pelbagai bidang pengajian.
Misalnya, Politeknik, Kolej Komuniti, GiatMARA, Institut Kemahiran Belia Negara, serta kolej vokasional swasta dan pusat latihan kemahiran yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran.
Bolehlah utamakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji lumayan, atau menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam yang merupakan ‘jalan pintas’ untuk terus ke pengajian peringkat ijazah di Universiti Awam.
Bincanglah dengan ibu bapa dan guru bagi mendapatkan pandangan tentang hala tuju selepas ini.
Umum mengetahui, calon SPM 2025 adalah kohort pertama yang tidak melalui peperiksaan utama, iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Meskipun tidak menduduki dua ujian itu, ramai yang tetap cemerlang. Bahkan, keputusan tahun lalu mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pencapaian SPM 2025 menunjukkan calon mempunyai daya tahan yang sangat tinggi. Sekali gus, membuktikan ketiadaan UPSR dan PT3, tidak menjejaskan keupayaan pelajar. Sebaliknya, membentuk kekuatan dan ketahanan diri yang lebih kukuh.
Berdasarkan statistik, keputusan SPM 2025 mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42 berbanding 4.49 pada 2024.
Bahkan indeks GPK bagi 2025 lebih baik, sejak peperiksaan SPM menggunakan format baharu berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah mulai tahun 2021.
Ia menyaksikan 13, 779 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A Tambah, A dan A Tolak dalam semua mata pelajaran, dengan jumlah calon memperoleh A Tambah dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 376 orang berbanding 352 pada 2024.
Manakala, seramai 366,435 atau 94.29 peratus calon layak diberikan sijil, iaitu peningkatan 0.28 peratus berbanding 2024. Jurang pencapaian calon bandar dengan luar bandar juga semakin mengecil.
Namun di sebalik semua ini, wujud kebimbangan prestasi keputusan Bahasa Melayu yang menurun.
BM (Bahasa Melayu) antara 29 subjek yang merekodkan penurunan prestasi selain mata pelajaran elektif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), iaitu Sains Tulen dan Matematik Tambahan.
Ada yang mengaitkan prestasi tersebut dengan kegagalan pelajar menguasai dengan baik kemahiran 3M, iaitu Menulis, Membaca dan Mengira, serta pemansuhan UPSR dan PT3.
Tidak wajar membuat kesimpulan sedemikian kerana belum ada data sahih di peringkat nasional berkenaan kesan pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu terhadap pencapaian SPM.
Bagaimanapun, kerajaan memahami perlu ada satu ujian peringkat kebangsaan di peringkat sekolah rendah.
Lantaran itu pada Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan ujian penilaian Tahun 4 akan dilaksanakan mulai tahun ini, melibatkan empat subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Mengapa kerajaan memilih untuk mengadakan ujian kebangsaan untuk murid Tahun 4? Salah-satunya kerana mereka adalah kelompok yang baharu melepasi tahap pembelajaran asas 3M.
Mengikut piawaian antarabangsa, pada usia 10 tahun, kelompok ini sepatutnya dapat menguasai ketiga-tiga kemahiran itu. Ujian penilaian Tahun 4 adalah peperiksaan yang sesuai untuk menilai keupayaan mereka.
Selain itu, Pengukuran Pembelajaran Tingkatan 3 akan turut diperkenalkan bermula tahun depan, melibatkan lima subjek teras.
Namun hakikatnya, kemenjadian murid tidak boleh dilihat semata-mata dari segi akademik. Tetapi perlu dilihat secara menyeluruh, merangkumi keseimbangan antara pencapaian akademik dengan kokurikulum dan sahsiah atau pembangunan karakter.
Apa pun, pujian perlu diberikan kepada pelajar lepasan SPM 2025 kerana berjaya mengharungi cabaran, termasuk gangguan pembelajaran semasa pandemik COVID-19 dengan mencatatkan prestasi akademik yang memberangsangkan.
Diharapkan, mereka yang telah melepasi alam persekolahan ini dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan cabaran baharu yang pastinya lebih berliku.
Seterusnya menguasai pendidikan di peringkat tinggi dengan lebih baik demi masa depan yang cerah dan terjamin.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Masniza Awang Kechik.