Sentiasa waspada risiko cuaca panas

Keadaan kawasan pelancongan di Empangan Timah Tasoh kelihatan kering berikutan cuaca panas berpanjangan – 24 Mac 2026/Fail BERNAMA

ULASAN BERITA

RINGKASAN BERITA AI
  • Amalkan berjaga-jaga: kurangkan aktiviti luar, minum cukup air, elak waktu puncak panas 11:00 hingga 16:00.
  • Jaga golongan rentan: warga emas, kanak-kanak dan pesakit kronik perlu dipantau bagi mengelak kelesuan atau strok haba.
  • Elakkan pembakaran terbuka, periksa kenderaan dan jimatkan penggunaan air untuk elak kebakaran, krisis air dan gangguan bekalan.

Cuaca panas yang dihadapi ketika ini bukan sekadar ‘cuaca biasa’, tetapi, sudah sampai tahap membuatkan kita cepat letih, mudah marah dan susah nak fokus.

Bahangnya terasa dari pagi sampai malam. Situasi ini, bukan lagi isu rasa tak selesa sebaliknya, petanda sesuatu yang lebih besar sedang berlaku.

Realitinya, peningkatan suhu ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia berkait rapat dengan kesan pemanasan global dan perubahan iklim yang semakin ketara.

Pakar klimatologi dan perubahan iklim menjangkakan, Malaysia bakal dilanda fenomena El-Nino paling panas dalam sejarah pada tahun ini.

Menurut Profesor Emeritus Dr Fredolin Tangang, fasa El-Nino berupaya meningkatkan suhu dunia.

Peningkatan suhu persekitaran membawa kepada cuaca kering yang meningkatkan risiko kemarau, kebakaran hutan dan jerebu.

Berikutan cuaca panas yang dijangka berlarutan sehingga pertengahan Jun ini, orang ramai diminta mengambil langkah berjaga-jaga.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menekankan kepentingan menjaga kesihatan dengan mengurangkan aktiviti luar yang terdedah kepada cuaca panas dan memastikan pengambilan air mencukupi.

Elakkan juga daripada melakukan sebarang pembakaran terbuka. Keadaan panas dan berangin boleh menyebabkan api merebak cepat.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Ambun Dindang, Malaysia kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut.

Lazimnya, fasa tersebut dicirikan oleh pengurangan hujan, serta keadaan cuaca lebih panas dan kering. Terutama di kawasan utara dan pedalaman Semenanjung.

Beberapa kawasan di Kedah, seperti Alor Setar, Kubang Pasu dan Langkawi, serta daerah Papar di Sabah masing-masing merekodkan sehingga 17 hari tanpa hujan.

Manakala, Perlis mencatatkan 15 hari tanpa hujan, setakat 23 Mac.

Sehingga petang semalam, lima kawasan di Semenanjung mencatatkan gelombang haba Tahap Dua.

Iaitu seluruh negeri Perlis, serta empat daerah di Kedah, iaitu Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Sik.

16 lagi kawasan berada pada Tahap Satu, iaitu tujuh daerah di Kedah, dua di Pulau Pinang, lima di Perak, serta masing-masing satu kawasan di Pahang dan Johor.

Ketika cuaca panas yang boleh dianggap ‘ekstrem’, golongan rentan seperti warga emas, pesakit kronik dan kanak-kanaklah yang paling perlu dijaga.

Rentetan itu, Kementerian Pendidikan meminta semua sekolah menangguhkan penganjuran aktiviti luar kelas, sekiranya suhu melebihi 35 darjah celcius.

Pada masa sama, pantau aktiviti yang berisiko mendedahkan murid kepada cuaca panas, bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.

Pihak pengurusan sekolah juga boleh mempertimbang kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan semasa cuaca panas.

Sejak 1 Januari, sekurang-kurangnya 15 kes penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan di seluruh negara, melibatkan 11 kes kelesuan haba, satu kes kejang haba dan tiga kes strok haba.

Manakala, satu kes kematian akibat strok haba dilaporkan membabitkan kanak-kanak tertinggal di dalam kenderaan.

Kes sebegini memerlukan kita sebagai ibu bapa lebih cakna dengan keberadaan anak masing-masing.

Dalam kita merancang perjalanan ke mana-mana destinasi, sama ada pergi beraya atau pulang ke kota dari kampung halaman, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.

Periksa air dan minyak hitam bagi mengelak insiden tidak diingini yang diburukkan oleh cuaca panas, seperti kebakaran kenderaan.

Cuaca panas berpanjangan juga boleh memberi kesan ketara terhadap paras air sungai dan empangan.

Bagi mengelak krisis, sama-samalah kita menjimatkan penggunaan air.

Sebagai langkah pencegahan untuk mengelak kelesuan haba pula, rancang aktiviti luar rumah, seperti ziarah raya.

Elak melakukan pada waktu puncak panas antara pukul 11:00 pagi hingga 4:00 petang.

Yang pasti, cuaca panas yang dihadapi negara pada masa ini tidak sama dengan cuaca panas yang dialami semasa zaman kita membesar dahulu.

Beberapa tahun kebelakangan ini, fenomena ini berlaku lebih lama, lebih kering dan lebih berbahaya. Oleh itu, elak bertindak apabila keadaan sudah terlambat.

Jangan ambil ringan tanda-tanda awal strok haba, antaranya kerap sakit kepala, nadi berdenyut laju dan suhu badan melebihi 39 darjah celsius.

Perubahan gaya hidup dalam menghadapi cuaca terlalu panas bukan semata-mata untuk keselesaan. Sebaliknya untuk kesihatan, produktiviti dan kelangsungan hidup.

Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Masniza Awang Kechik.