
ULASAN BERITA
- Sambut Aidilfitri secara sederhana; elak pembaziran, bukan untuk menunjuk-nunjuk, ukur baju di badan sendiri.
- Ingat! saudara di Gaza dan Asia Barat; sambutan mereka penuh ketabahan, kita berkongsi simpati dan doa.
- Kerajaan amalkan penjimatan: tiada rumah terbuka peringkat Persekutuan, kementerian, agensi dan GLC tahun ini.
- Langkah meringankan beban rakyat termasuk subsidi petrol dikekalkan dan diskaun tol 50 peratus sempena Aidilfitri.
Debaran satu Syawal berakhir. Spekulasi raya Jumaat atau Sabtu terjawab. Esok umat Islam akan meraikan Hari Raya Aidilfitri. Bagi yang belum balik kampung, rancanglah perjalanan dengan baik. Yang masih memandu “pandu cermat, jiwa selamat”.
Yang bekerja uruslah emosi dengan stabil. Jangan dikenang sangat ketupat, rendang, nasi himpit dalam kuali. Yang diperantauan hubungilah orang tersayang, mungkin itu tonik hati yang boleh menghilangkan hiba di sanubari.
Bagaimanapun, Aidilfitri tahun ini mungkin diraikan sedikit berbeza. Menyambut kemenangan selepas sebulan berpuasa, hati kita tentunya tidak dapat lari daripada mengenang saudara seagama di bumi yang sedang bergolak.
Di Gaza dan rantau Asia Barat, konflik dan kesedihan masih menghiasi hari-hari mereka. Ramai yang menyambut lebaran dalam keadaan serba kekurangan.
Tanpa rumah yang sempurna, tanpa keluarga yang lengkap, malah ada yang terpaksa berlindung demi keselamatan. Dalam suasana penuh ujian itu, Aidilfitri bagi mereka bukan sekadar hari kemenangan, tetapi juga hari ketabahan dan harapan.
Perasaan simpati dan keprihatinan turut dirasai di Malaysia. Ibarat pepatah “cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit”. Kesannya, signifikan kepada warga Malaysia. Termasuk risiko keselamatan.
Itu semua dipantau dekat kerajaan. Bilik Operasi Wisma Putra diaktifkan bagi membantu warganegara Malaysia di rantau berkenaan.
Ahli keluarga boleh menghubungi talian 03-8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my untuk mendapatkan bantuan dan maklumat lanjut.
Dalam pada itu, umat Islam di negara ini disaran menyambut Aidilfitri secara sederhana dan tidak membazir.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata sambutan Aidilfitri adalah satu ibadah yang penuh makna, namun ia tidak seharusnya diraikan secara berlebih-lebihan kerana Islam melarang pembaziran.
Umat Islam juga diingatkan agar mengelak perbelanjaan bersifat menunjuk-nunjuk atau sekadar mengikut trend semasa. Walaupun mampu, tetapi alangkah eloknya cuma sekadar sahaja. Tidak membebankan. “Ukur baju di badan sendiri”.
Selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar rakyat terus berbelanja secara berhemat sepanjang meraikan Syawal, dan mengurus kewangan secara berdisiplin sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan.
Bukan hanya di pihak rakyat, kerajaan turut mengamalkan pendekatan serupa.
Tiada penganjuran rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat Persekutuan, kementerian, agensi, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) tahun ini.
Komitmen itu bagi mengelakkan pembaziran serta mengurus dana negara dengan lebih bertanggungjawab.
Dalam masa sama, kerajaan tetap berusaha meringankan beban rakyat. Harga subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95) dikekalkan pada paras RM1.99 seliter.
Satu keputusan penting dan sukar demi kesejahteraan rakyat. Usaha yang seharusnya dipandang positif. Harus juga dinilai secara waras. “Janganlah jadi mancis, ada kepala tiada otak, bila terguris terus terbakar”.
Diskaun tol sebanyak 50 peratus juga diteruskan bersempena Aidilfitri kali ini. Biar rakyat rasa tidak terbeban dan pulang meraikan hari raya dengan senyum kemenangan.
Ada “cash” lebih untuk diisi dalam sampul raya untuk diberi kepada anak-anak, isteri, ibu bapa, saudara- mara, sahabat handai dan golongan asnaf.
Sambutlah Aidilfitri dengan penuh kesyukuran, keinsafan dan keprihatinan terhadap sesama insan. Balik kampung, jenguk ibu bapa, ahli keluarga, dan kenalan. Hati-hati dalam perjalanan, kalau penat berhentilah sekejap berehat.
Santai-santai. Usah berkejar untuk sampai cepat, yang penting selamat. Seperti bait-bait lirik lagu ni.
Ikan kekek mak ilui-ilui
Ikan gelama, ah, mak ilai-ilai
Biar lambat asal selamat
Tidak lari, ah, gunung dihambat
Saudara, mungkin tahun ini, Aidilfitri mengajar kita sesuatu yang lebih mendalam. Sentiasa mengutamakan nilai kebersamaan. “Buang yang keruh, ambil yang jernih”. Elak prejudis adalah penting untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan negara.
Di sebalik juadah dan kemeriahan, yang paling utama adalah rasa syukur atas keamanan yang kita nikmati. Semoga Aidilfitri kali ini menjadikan kita lebih bersederhana, lebih bersyukur dan lebih peduli.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin! daripada kami warga Berita Radio RTM.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Zamzuri Zawawi.