
BUKIT KAYU HITAM, 1 April -Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) sedang menyiasat dakwaan bahawa terdapat anggotanya yang membenarkan kemasukan warga asing melalui pintu sempadan negara.
- Ketua Pengarah memberi amaran tegas supaya pegawai tidak terlibat dalam aktiviti khianat yang menjejaskan keselamatan negara.
- Setakat ini tiada bukti jelas menunjukkan kemasukan warga asing melalui laluan berkenaan.
- SAC Mohd Nasaruddin serah tugas Komander kepada SAC Fauzi Mohd Yusuf; dilantik Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS Putrajaya.
- Kes tembakan terhadap Mohd Nasaruddin pada 25 Februari diserahkan kepada polis; beliau terselamat.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, memberi amaran tegas kepada pegawai dan anggotanya yang bertugas agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti khianat yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
Katanya, setakat ini tiada bukti jelas menunjukkan kemasukan warga asing termasuk dari India dan Bangladesh berlaku melalui laluan tersebut.
“Saya gunakan ini sebagai amaran kepada pegawai-pegawai saya supaya jangan sampai saya mengetahui bahawa perkara ini adalah hasil daripada perbuatan khianat yang sama pernah saya tegur di Bukit Kayu Hitam. Sekiranya ia berlaku, saya terpaksa datang dengan lebih kerap untuk mengenal pasti individu-individu yang terlibat.
“Jadi, jika tuan-puan melihat dalam Facebook dalam tempoh seminggu dua ini terdapat kes di Changlun, itu bermaksud ia terlepas dari mana-mana pihak. Namun, setakat ini kita masih belum dapat mengenal pasti puncanya walaupun pelbagai persoalan telah dibangkitkan,” katanya pada Majlis Serah Terima Tugas Komander AKPS Bukit Kayu Hitam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), semalam.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada individu terbabit memasuki negara melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam atau sebaliknya.
Sementara itu, Senior Asisten Komisioner (SAC) Mohd Nasaruddin M Nasir menyerahkan tugasnya sebagai Komander AKPS Bukit Kayu Hitam kepada Senior Asisten Komisioner Fauzi Mohd Yusuf. SAC Mohd Nasaruddin kini dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (0perasi) AKPS Putrajaya selepas berkhidmat selama satu tahun dua bulan di AKPS Bukit Kayu Hitam.
SAC Mohd Nasaruddin merupakan individu yang terselamat apabila kenderaan dinaikinya ditembak oleh individu bermotosikal pada 25 Februari lalu.
Datuk Seri Mohd Shuhaily berkata, pihaknya menyerahkan siasatan berkaitan kes tembakan membabitkan Mohd Nasaruddin di Bukit Kayu Hitam bulan lalu kepada polis.
Dalam pada itu, AKPS turut memperketat kawalan di sempadan bagi membendung aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi yang dijangka meningkat susulan konflik di Asia Barat.
Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan, termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dalam melaksanakan penguatkuasaan.
“Kita memperketatkan kawalan sempadan dalam konteks penyeludupan barang-barang bersubsidi susulan konflik perang Iran–Israel. Arahan tersebut telah saya sampaikan kepada Tuan Nasaruddin dan akan dikuatkuasakan oleh Tuan Fauzi.
Namun, agensi peneraju bagi penguatkuasaan berkaitan barangan kawalan adalah di bawah KPDN. Oleh itu, kita akan mengambil peranan utama bersama mereka dan bekerjasama dalam melaksanakan penguatkuasaan tersebut,” katanya.