Malaysia-Jepun perkukuh kerjasama teknologi tinggi dan rantaian bekalan

Foto Fail

KUALA LUMPUR , 31 Mac –Malaysia menyeru pelabur dari Jepun memperkukuh integrasi dalam ekosistem semikonduktor negara dan melangkaui aktiviti pemasangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Galakan teroka segmen bernilai tinggi: reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju, R&D, sektor hijau dan pembangunan bakat tempatan.
  • Perkukuh rantaian bekalan dengan sumber daripada pembekal tempatan, kerjasama jangka panjang dan sokong pembangunan PKS.
  • Dasar perindustrian selari keutamaan strategik Jepun; peluang besar dalam semikonduktor, transformasi hijau dan keselamatan ekonomi, sokongan pemindahan teknologi.

Negara itu digalak meneroka segmen bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju, penyelidikan dan pembangunan (R&D), sektor hijau serta pembangunan bakat tempatan.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tsin berkata, Malaysia turut menggalakkan pelabur Jepun mendapatkan sumber daripada pembekal tempatan serta membina perkongsian jangka panjang.

“Ia bukan sekadar tentang kos, tetapi mewujudkan nilai bersama dan memperkukuh rantaian bekalan. Melabur dalam ekosistem tempatan, bekerjasama dengan PKS Malaysia, bangunkan pembekal tempatan, dan kongsikan teknologi serta amalan pengurusan bertaraf dunia, ” katanya pada Seminar Kerjasama Industri Jepun-Malaysia Baharu hari ini.

Jelas beliau, dasar perindustrian Malaysia menunjukkan penjajaran kukuh dengan keutamaan strategik Jepun, termasuk 17 bidang strategik yang digariskan dalam strategi pertumbuhan Jepun.

Khususnya dalam sektor semikonduktor, transformasi hijau dan keselamatan ekonomi, ia membuka peluang besar untuk kerjasama.

Kerajaan turut menggalakkan syarikat Jepun memperluas pelaburan melalui pemindahan teknologi, pembangunan vendor tempatan serta kerjasama dalam pembangunan bakat bagi memastikan pertumbuhan industri yang mampan dan berdaya tahan.