
WASHINGTON, 26 Mac – Amerika Syarikat (AS) mendakwa masih meneruskan rundingan dengan Iran meskipun terdapat laporan Tehran menolak pelan damai yang dicadangkan bagi menamatkan peperangan yang kini memasuki minggu keempat.
- Karoline Leavitt nafi rundingan buntu dan sifatkan perbincangan sebagai produktif.
- Leavitt menyatakan terdapat kemajuan dalam rundingan.
- Beliau mengakui sebahagian laporan media tidak tepat sepenuhnya.
- Laporan mendedahkan pelan 15 perkara AS tuntut hak nuklear diserahkan dan misil balistik dilumpuhkan; dikaitkan dengan Mohammad Bagher Ghalibaf.
Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt menafikan dakwaan bahawa rundingan tersebut telah menemui jalan buntu sebaliknya menyifatkan perbincangan yang sedang berlangsung sebagai ‘produktif.’
“Rundingan masih diteruskan. Kami melihat ada kemajuan dalam perbincangan tersebut,” katanya dalam satu taklimat media di sini pada Rabu.
Terdahulu, media kerajaan Iran memetik sumber yang tidak didedahkan mendakwa negara itu memberikan maklum balas negatif terhadap tawaran daripada pentadbiran Presiden Donald Trump.
Mengulas mengenai laporan media berhubung pelan 15 perkara AS yang mengandungi tuntutan terhadap Tehran, Leavitt mengakui sebahagian maklumat yang disebarkan tidak tepat sepenuhnya.
Laporan media AS dan Israel sebelum ini mendedahkan antara perkara utama dalam pelan tersebut termasuklah tuntutan agar Iran melepaskan segala hak terhadap program nuklear dan bersetuju untuk melumpuhkan keseluruhan senjata peluru berpandu balistik mereka.
Bagaimanapun, Leavitt enggan mendedahkan pihak mana di Tehran yang menjadi rakan rundingan AS.
Beberapa laporan sebelum ini membayangkan bahawa pentadbiran Trump berkemungkinan berunding dengan Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, yang merupakan antara tokoh bukan ulama paling berpengaruh di negara itu ketika ini.-AFP