
LJUBLJANA, 26 Mac – Slovenia menjadi negara anggota Kesatuan Eropah (EU) pertama melaksanakan catuan bahan api sebagai langkah drastik menguruskan gangguan bekalan ekoran konflik bersenjata yang sedang meruncing di Asia Barat.
- Had pembelian: kenderaan persendirian 50 liter sehari, syarikat dan sektor pertanian 200 liter.
- Barisan panjang di stesen, kekurangan diesel dan notis stok kerap; kebanyakan pemandu tidak panik tetapi ada kritikan terhadap pengurusan rizab.
- Permintaan dari negara jiran memanfaatkan harga terendah serantau, dan penganalisis beri amaran harga rendah stabil mungkin berakhir jika gangguan global berlanjutan.
Di bawah langkah baharu itu, pemilik kenderaan persendirian kini dihadkan kepada pembelian 50 liter sehari, manakala had 200 liter ditetapkan bagi syarikat dan sektor pertanian.
Kerajaan Slovenia sebelum ini telah mula melepaskan rizab strategik negara dalam usaha untuk menstabilkan pasaran, namun tekanan terhadap rantaian bekalan dilaporkan semakin meruncing.
Tinjauan di seluruh negara mendapati barisan panjang di stesen-stesen minyak, dengan beberapa lokasi melaporkan ketiadaan bekalan diesel selain notis amaran mengenai kekurangan stok yang semakin kerap dipamerkan.
Meskipun berdepan tekanan fizikal, rata-rata pemandu yang ditemui menyatakan mereka tidak melakukan pembelian panik.
Bagaimanapun, terdapat segelintir pengguna yang menyuarakan kebimbangan terhadap cara kerajaan mengendalikan krisis tersebut kerana tidak melepaskan rizab bahan api lebih awal dan membeli lebih banyak stok simpanan ketika sudah menjangkakan akan berlaku kesukaran.
Pakar analisis kewangan daripada akhbar nasional Delo, Karel Lipnik berkata, peningkatan mendadak dalam penggunaan bahan api turut didorong oleh trauma krisis tenaga empat tahun lalu.
“Rakyat masih ingat tahun 2022 apabila harga kekal tinggi dalam tempoh yang lama, jadi mereka mula menyimpan petrol jika ada peluang. Mereka membeli sebanyak mungkin dan saya rasa itu punca utama kesesakan di stesen minyak,” katanya.
Selain faktor domestik, permintaan dari negara jiran turut menyumbang kepada ketegangan bekalan memandangkan harga bahan api di Slovenia adalah yang terendah di rantau tersebut, sekali gus menarik pembeli asing melintasi sempadan.
Penganalisis memberi amaran tempoh harga bahan api yang stabil dan rendah di Slovenia mungkin akan berakhir sekiranya gangguan terhadap bekalan global terus berlarutan.-REUTERS