
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Malaysia menyambut baik usaha Pakistan untuk menganjurkan dialog antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dalam usaha meredakan ketegangan di Asia Barat.
- Inisiatif diplomasi bertepatan dan konstruktif dalam menghadapi konflik yang semakin meruncing.
- Rundingan mesti dijalankan dengan niat tulus dan komitmen jelas untuk menamatkan konflik, bukan sekadar menangguhkan ketegangan.
- Malaysia menyeru ketenangan, menegaskan kepentingan undang-undang antarabangsa adil, dan terus menyokong diplomasi bagi keamanan berkekalan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu bertepatan pada masanya serta bersifat konstruktif dalam keadaan konflik yang semakin meruncing.
Dalam sebuah video dimuat naik menerusi Facebook hari ini, beliau memuji rakan sejawatnya Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif serta pemimpin negara-negara lain termasuk Oman, yang tampil membantu mempermudah usaha diplomasi.
“Hubungan Pakistan dengan pihak berkepentingan serta kedudukannya sebagai suara yang dipercayai dalam dunia Islam meletakkan negara itu berada pada kedudukan kukuh untuk membantu mewujudkan syarat bagi rundingan yang bermakna,” kata beliau.
Malaysia menyokong penuh inisiatif berkenaan dan berharap semua pihak termasuk AS dan Iran dapat menyambut baik usaha tersebut.
“Ia menunjukkan masih ada ruang untuk diplomasi dan ruang itu perlu dimanfaatkan sebaiknya,” kata beliau
Tambah Perdana Menteri, sebarang rundingan perlu dilaksanakan dengan niat yang tulus serta komitmen jelas untuk menamatkan konflik, bukan sekadar menangguhkan ketegangan.
“Masyarakat antarabangsa sudah menyaksikan terlalu banyak gencatan senjata yang sekadar berfungsi sebagai jeda dan bukannya penyelesaian. Rantau berkenaan sewajarnya menerima sesuatu yang lebih kekal,” kata beliau.
Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak supaya bertenang bagi mengelakkan konflik terus merebak ke negara jiran khususnya di rantau Teluk.
Perdana Menteri turut menegaskan kepentingan undang-undang antarabangsa dilaksanakan secara adil dan konsisten tanpa pilih kasih.
Malaysia akan terus menyokong usaha diplomasi bagi mencapai keamanan yang berkekalan di rantau berkenaan.