Harga RON95 bersubsidi kekal RM1.99 seliter

Foto fail/ RTM

PUTRAJAYA, 25 Mac – Kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan kos bahan api.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga bahan api lain diselaraskan mengikut Mekanisme Harga Automatik; RON97 RM5.15, RON95 tanpa subsidi RM3.87, diesel Semenanjung RM5.52.
  • Harga diesel bagi sektor pengangkutan awam dan logistik kekal RM2.15 seliter, subsidi dianggarkan melebihi RM3 bilion sebulan.
  • Penguatkuasaan diperketat, larangan jualan RON95 kepada kenderaan berdaftar asing, had pembelian tanpa permit, dan kawalan diesel di Sabah, Sarawak, Labuan.

Langkah itu diambil berikutan lonjakan harga minyak mentah global melebihi 40 peratus hingga melepasi AS$100 setong akibat konflik di Asia Barat.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan berkata harga bahan api lain diselaraskan secara berperingkat mengikut kenaikan harga global sejak penghujung Februari 2026.

“Selaras Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026 ditetapkan pada RM5.15 seliter bagi RON97, RON95 tanpa subsidi (RM3.87 seliter), diesel Semenanjung Malaysia (RM5.52 seliter) serta diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter.

“Kerajaan MADANI kekal komited melindungi kesejahteraan rakyat dalam keadaan pasaran minyak global yang tidak menentu, walaupun Malaysia adalah negara pengeluar minyak dan harga domestik turut dipengaruhi pasaran antarabangsa,” menurut kenyataan itu hari ini.
Kerajaan turut memperkenalkan beberapa langkah bagi mengurangkan beban rakyat termasuk memastikan penerima layak terus menikmati RON95 pada harga RM1.99 seliter.

Selain itu, harga diesel bagi sektor pengangkutan awam dan logistik darat dikekalkan pada RM2.15 seliter, dengan anggaran subsidi melebihi RM3 bilion sebulan.

Selain itu, bantuan diesel individu di bawah BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi ditingkatkan kepada RM300 sebulan bermula Mac 2026 berbanding RM200 sebelum ini.

“Pemantauan dan penguatkuasaan diperkukuh bagi memastikan bekalan bahan api kekal stabil serta membendung ketirisan dan penyalahgunaan subsidi termasuk di kawasan sempadan.

“Larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing kekal berkuat kuasa, manakala pembelian bahan api melebihi 20 liter di luar tangki tanpa permit khas adalah tidak dibenarkan,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan juga bercadang memperkenalkan kawalan terhadap pembelian diesel khususnya di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi menangani risiko ketirisan.